700 peserta seluruh dunia meriahkan Marathon Putra 2.

700 peserta seluruh dunia meriahkan Marathon Putra 2.0

PERLIS Ultra Marathon (Putra) 2.0 yang memasuki edisi kedua bakal berlangsung penuh epik dengan penyertaan lebih 700 peserta dari seluruh dunia dalam acara larian yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini hingga esok di Taman Negeri Wang Kelian, Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kejohanan Perlis Ultra Marathon (Putra) 2.0 yang memasuki edisi kedua bakal berlangsung penuh epik dengan penyertaan lebih 700 peserta dari seluruh dunia dalam acara larian yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini sehingga esok.

Antara peserta dari luar negara tersebut membabitkan pelari-pelari dari Thailand, Indonesia, Singapura, China, Somalia, Pakistan, Maghribi dan Poland.

Pengarah Putra 2.0, Ku Hasrin Ku Abd. Rahman berkata, dalam edisi kali ini, pihaknya turut menggunakan laluan tarikan pelancong di Perlis untuk penganjuran program berkenaan seperti kampung tradisi, sawah padi, gua batu kapur dan hutan simpan yang sememangnya membawa kelainan berbanding kebiasaan.

“Peserta juga bakal disajikan dengan makanan popular di negeri ini bersama persembahan muzik tradisional Perlis selepas mengikuti acara larian berkenaan,” katanya di sini semalam.
Putra 2.0 bakal menawarkan beberapa kategori untuk dipertandingkan antaranya me­libatkan larian dengan jarak 75 kilometer, 50 kilometer, 27 kilometer dan 11 kilometer.

Selain itu, terdapat juga aktiviti Fun Walk membabitkan jarak 2.5 kilometer disediakan buat peserta.

Pelepasan peserta dan lokasi tamat larian akan bermula di Taman Negeri Wang Kelian yang merupakan taman negeri pertama di Malaysia.

Dalam pada itu, Ku Hasrin berkata, Putra 2.0 juga merupakan platform terbaik bagi membantu mempromosikan Tahun Melawat Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) 2023-2025 dan Tahun Melawat Perlis 2024/2025 (TMP2024/2025).

“Program tersebut dapat menyemarakkan lagi dua sambutan berkenaan sekali gus memperkenalkan keunikan Perlis buat masyarakat luar,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelanco­ngan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Rakan Muda bagi menjayakan program tersebut.

“Selain itu, kami turut mendapat kerjasama yang cukup baik daripada komuniti Wang Kelian, komuniti Kaki Bukit, komuniti Wang Gunung yang amat membantu dalam menjayakan Putra 2.0 kali ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN