PETALING JAYA: Kerajaan menerima sebanyak 3,403 aduan berkaitan masalah jalan raya termasuk jalan berlubang, kerosakan papan tanda serta perabot jalan melalui aplikasi MYJalan, sejak 1 Ogos hingga 23 Oktober lalu.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, daripada jumlah keseluruhan aduan itu, hanya 26.8 peratus atau 912 aduan membabitkan jalan kendalian agensi kementerian.
Katanya, selebihnya iaitu 73.2 peratus (2,491 aduan) adalah jalan negeri dan jalan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Daripada statistik ini, adalah jelas sebahagian besar aduan adalah membabitkan jalan yang bukan di bawah kendalian KKR iaitu jalan seliaan kerajaan negeri dan PBT.
“Namun, kementerian akan terus meningkatkan kerjasama dengan pihak berkaitan untuk memastikan aduan melalui aplikasi MYJalan yang disalur kepada mereka dapat diambil tindakan dengan sewajarnya.
“Saya juga akan mengadakan perbincangan bersama kementerian lain yang terlibat bagi bekerjasama dalam menangani isu ini, selari prinsip pendekatan keseluruhan kerajaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Katanya, bagi 912 aduan membabitkan jalan seliaan agensi KKR, 30 peratus atau 275 aduan adalah jalan berlubang; 20 peratus (187 aduan) (lampu jalan); 19 peratus (174 aduan) (jalan rosak); 11 peratus (98 aduan) (lampu isyarat).
Selain itu, tujuh peratus (64 aduan) (garisan jalan); lima peratus (49 aduan) (halangan); tiga peratus (23 aduan) (papan tanda); dua peratus (21 aduan) (kemudahan awam); dua peratus (16 aduan) (perabot jalan); dan satu peratus (lima aduan) (tanah runtuh).
“Namun, sebanyak 676 aduan telah diselesaikan oleh agensi KKR dalam tempoh satu hingga 30 hari, manakala 236 aduan sedang dalam proses tindakan,” katanya. – UTUSAN










