15 Orang Asli Kensiu antara 61,461 OKU berdaftar di Kedah

15 Orang Asli Kensiu antara 61,461 OKU berdaftar di Kedah

HALIMATON Shaadiah Saad (tengah) menyampaikan replika kad OKU kepada kanak-kanak kembar yang mendaftar dengan JKM pada Program Semai Bakti Santuni dan Sayangi OKU bersama Penduduk Orang Asli Kensiu di Ulu Legong, Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Penduduk Orang Asli etnik Kensiu, di sini perlu diberi pendedahan mengenai kepentingan mendaftar anak-anak atau ahli keluarga mereka yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Perpaduan negeri, Datuk Halimaton Shaadiah Saad berkata, kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan OKU termasuk di pedalaman, malah sentiasa mengiktiraf peranan dan kepentingan mereka untuk terus terlibat dalam pembangunan negara.

“Golongan OKU harus disayangi dan disantuni secara adil serta meningkatkan penyertaan mereka dalam pelbagai bidang. Program Semai Bakti amat bermakna khususnya kepada etnik Kensiu kerana ia merupakan program mendekatkan agensi-agensi kerajaan bersama mereka.

“Melalui program itu, kita akan mengenal pasti golongan OKU yang belum berdaftar yang tinggal di kawasan perkampungan Orang Asli dan di kawasan pedalaman lain agar keperluan mereka terutamanya aspek kesihatan dan pendidikan terjaga,” katanya ketika ditemui pada Program Semai Bakti Santuni dan Sayangi OKU di Ulu Legong, semalam.

Menurutnya, jumlah pendaftaran OKU di Kedah sehingga 1 Ogos lalu adalah seramai 61,461 orang yang merangkumi pelbagai kategori seperti masalah pendengaran, penglihatan, pertuturan, fizikal, pembelajaran, mental dan lain-lain.

Katanya, jumlah itu termasuk 15 Orang Asli Kensiu di mana 11 daripadanya dikategorikan OKU pembelajaran, dua orang fizikal dan dua lagi kategori penglihatan.

“Kerajaan Negeri telah mengadakan Mesyuarat Tindakan Negeri Bagi OKU (MTNOKU) pada Jun lalu yang akan memainkan peranan dan fungsi menasihati serta merangka program bersesuaian yang bermanfaat untuk dilaksanakan bagi menjamin kebajikan mereka.

Sementara itu, Tok Batin Perkampungan Orang Asli Kensiu, Razali Kulim berkata, dia menghargai keprihatinan kerajaan yang sentiasa ambil peduli kebajikan 336 penduduk di situ termasuk golongan OKU.

“Program ini amat baik kerana kami dapat mendaftar dengan JKM bagi mereka yang dikategorikan OKU, nasib mereka akan terbela dan mendapat pelbagai bantuan seperti elaun bulanan bagi mengurangkan bebanan hidup yang terpaksa ditanggung.

“Kehadiran pelbagai agensi kerajaan pada program ini juga telah memberikan pendedahan dan memudahkan kami untuk bertanya dan mendapat ilmu terutama bagi mereka yang belum mendaftar dengan JKM, maka pengeluaran kad OKU akan dikeluarkan serta merta setelah memenuhi syarat,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya