15 akaun pengasas MYAirline dalam proses dibekukan

15 akaun pengasas MYAirline dalam proses dibekukan

REPUTASI MYAirline terjejas teruk selepas menggantung operasi serta-merta pada 12 Oktober lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia dalam proses membekukan lebih 15 akaun yang  mempunyai kaitan dengan pengasas syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline dipercayai hasil aktiviti pengubahan wang haram.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Moha­med Yoosuf berkata, tahanan reman ke atas individu berkenaan turut dilanjutkan selama dua hari sehingga esok manakala isteri dan anak lelakinya dibebaskan.

Kata beliau, siasatan diteruskan dan JSJK mengenal pasti beberapa lagi individu yang boleh memberi keterangan dalam membantu siasatan kes.

“Adalah lebih baik jika mereka tampil untuk memberi kerjasama untuk mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya di sini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, pihaknya sedang mengenal pasti aset-aset milik tiga beranak termasuk pengasas syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline dipercayai hasil aktiviti pengubahan wang haram.

Siasatan secara menyeluruh sedang dijalankan pihaknya bagi mengesan mana-mana aset termasuk akaun bank atau harta yang dipercayai hasil kegiatan tersebut.

PDRM juga akan menyiasat punca kewangan milik pengasas bersama dan pemegang saham sebuah syarikat penerbangan tambang murah yang ditahan itu.

Siasatan juga dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana syarikat penerbangan itu tertubuh.

Selasa lalu, Ramli dilaporkan berkata, pengasas bersama syarikat penerbangan murah yang berusia 57 tahun itu ditahan polis bersama isteri, 55, dan anak lelakinya, 26, di Shah Alam, Selangor.

Beliau berkata, siasatan pihaknya meliputi pelbagai elemen termasuk bagi mengetahui sumber wang melibatkan rangkaian perniagaan dimiliki tiga beranak itu dipercayai hasil pengubahan wang haram.

Ketiga-tiga mereka direman empat hari bermula kelmarin untuk siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Da­ripada Aktiviti Haram 2001.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN