BALING: Beberapa buah kampung di Mukim Siong, Pulai dan Baling dinaiki air berikutan hujan lebat yang berterusan sejak pukul 5 petang semalam hingga ke tengah malam tadi.
Antara kawasan yang terlibat adalah Kampung Batu 8, Kampung Bukit Sebelah, Kampung Batu 60, Kampung Siput, Kampung Charuk Gorok, Kampung Charuk Salang dan Kampung Haji Abas.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd. Faizol Abd. Aziz berkata, seramai 147 mangsa ditempatkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka berikutan kediaman mereka dimasuki air.
“PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Siong menempatkan 126 mangsa dan PPS SK Seri Bayu menempatkan 21 mangsa. Selain penduduk kampung, operasi menyelamat turut dilakukan ke atas 179 pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongor dan SK Seri Perdana, Kota Setar.
“Mereka sedang menjalani aktiviti perkhemahan di Lubuk Badak dan dipindahkan ke tempat selamat bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini paras air Sungai Ketil dalam keadaan berjaga-jaga dan pihaknya sudah bersiap sedia untuk melakukan operasi pemindahan seterusnya jika paras air sungai terus meningkat. –UTUSAN










