Kira-kira 1,000 pelajar termasuk pelajar baru Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini menghadiri program Bicara Bersama Alumni.
Mereka berkongsi pengalaman bersama pembicara, Datuk Seri Ahmad Burak, Presiden Persatuan Alumni Suluh Budiman (PASB) UPSI.
Hadir sama Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr Siti Hartini Azmi; Pengetua KHAR, Dr Che Anuar Che Abdullah; Penolong Pendaftar Kanan, Anizan Md Noor dan Presiden Majlis Mahasiswa Kolej (MMK), Mohamad Naqiuddin Abd Rahman.
Seramai 3,267 pelajar baharu mendaftar Ahad lalu untuk meneruskan pengajian di sembilan fakulti di universiti berkenaan.
Ahmad yang juga Ahli Lembaga Pengarah UPSI sambil mengalu-alukan kehadiran mereka merakamkan penghargaan kepada semua pelajar kerana memilih UPSI untuk meneruskan pengajian.
“Insya-Allah UPSI akan terus unggul menjuarai bidang pendidikan dan berharap pelajar tidak mensia-siakan peluang yang terbentang di hadapan mereka,” katanya.-UTUSAN