SEREMBAN : Seorang wanita didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencuri barang kemas milik seorang pesakit di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban pada 13 Mac lalu.
Siti Aisyah Rusly, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Nurul Saqinah Rosli.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah mencuri seutas rantai leher emas beserta loket, seutas gelang tangan emas, seutas gelang kaki emas dan sepasang subang emas milik seorang wanita berusia 56 tahun.
Kesalahan itu dilakukan di Zon Hijau (zon tidak kritikal) Hospital Tuanku Ja’afar Seremban antara pukul 4.30 petang hingga 6.30 petang pada tarikh tersebut.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Razqeeyanur Sarini Salzali memberitahu, tertuduh merayu dikenakan denda yang minimum kerana dia telah dibuang kerja serta menanggung tiga anak berusia antara lapan hingga 11 tahun.
Katanya, tertuduh memohon maaf atas kesalahan tersebut dan mengakui terjebak dengan hutang peminjam wang tidak berlesen menyebabkan dia terdesak.
Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.
Berdasarkan fakta kes, pengadu mendapati barang kemas miliknya yang disimpan di dalam beg plastik hilang ketika sedang menerima rawatan di zon hijau.
Pengadu kemudiannya membuat laporan polis dan tertuduh telah ditahan pada 14 Mac lalu.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. – UTUSAN










