BESUT: Seramai 100 nelayan di Terengganu kini mampu menikmati kehidupan lebih selesa selepas menerima rumah baharu menerusi Program Penempatan Semula Nelayan (PSN).
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata. pemberian rumah itu bagi meningkatkan taraf hidup komuniti nelayan di Benting Lintang, di sini dan Pulau Sekepeng, Kemaman.
Katanya, bagi PSN Seberang Penarik, Setiu masih lagi dalam proses pembangunan yang telah mencapai kemajuan 70 peratus.
“Alhamdulillah pada hari ini, setelah beberapa tahun kita melakukan program pecah tanah untuk penempatan nelayan, akhirnya dapat diserahkan kepada penerima dan semua sudah ada milikan serta menunggu beberapa proses yang sudah selesai.
“Kos sebuah rumah adalah bernilai RM154,000. Daripada jumlah itu, kerajaan menanggung kos sebanyak RM100,000 manakala bakinya RM54,000 dibayar oleh penerima secara sewa beli pada harga RM170 sebulan selama 25 tahun,” katanya pada Majlis Serah Kunci Program PSN Negeri Terengganu di Benting Lintang, hari ini.
Menurut Ahmad Samsuri, secara keseluruhan kos pembinaan tiga PSN iaitu di Benting Lintang, Pulau Sekepeng dan Seberang Penarik menelan berjumlah RM38.2 juta yang mana sebahagian peruntukan adalah daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berjumlah RM13 juta dan Sebahagian lagi peruntukan daripada Kerjaan Negeri berjumlah RM25.2 juta.
Sementara itu, seorang penerima PSN, Mohd. Khairulnizam Abdul Rani, 46, meluahkan rasa syukur apabila dipilih memperoleh rumah tersebut dan mencapai impiannya memiliki rumah sendiri.
“Untuk membina rumah sendiri saya tidak mampu dengan pendapatan tidak seberapa tetapi melalui PSN saya mendapat tempat berlindung yang selesa buat isteri dan anak-anak.
“Selain itu, ia dapat meringankan beban saya yang sebelum ini membayar sewa rumah berjumlah lebih RM200 sebulan manakala PSN lebih murah dan ia adalah milik sendiri,” katanya. – UTUSAN










