Warga emas terkilan anak, dua cucu tidak sempat sambut kehadiran ahli keluarga baharu  - Utusan Malaysia

Warga emas terkilan anak, dua cucu tidak sempat sambut kehadiran ahli keluarga baharu 

NORIAH Ismail menyiram pusara anak lelaki dan dua cucunya yang maut dalam kemalangan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jabur Kubur, Kemaman, malam tadi. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seorang warga emas terkilan apabila anak lelaki dan dua cucunya yang maut dalam kemalangan di Kilometer 154, Jalan Jerangau-Jabor dekat persimpangan Cheneh-Mak Lagam, di sini, semalam, tidak sempat menyambut kehadiran seorang lagi ahli keluarga baharu mereka. 

Noriah Ismail, 60, berkata, menantunya, Norhafizah Sazwa Harun, 38, yang turut cedera dalam kemalangan itu kini hamil kira-kira tujuh bulan. 

“Mak cik memang sedih dengan pemergian tiga ahli keluarga serentak dan kami sekeluarga sangat terkejut dengan kejadian ini. 

“Menantu mak cik sedang mengandung tujuh bulan. Walaupun mak cik sedih anak sendiri tak sempat sambut kelahiran bayi yang akan dilahirkan nanti, tapi mak cik bersyukur isteri dan seorang lagi anak mereka terselamat,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jabur Kubur, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang semalam, kenderaan Naza Citra yang dinaiki lima sekeluarga yang menetap di Taman Suteramas, Mak Chili, di sini, dirempuh sebuah lori yang dikatakan mempunyai masalah brek.

Anak Noriah, Ammir Hussein Mohamad, 38, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua cucunya, Ammzar Husszair Al Hussein,4, dan Ammzar Hussnayan Al Hussein,1, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kemaman. 

Noriah berkata, Norhafizah Sazwa telah dibenarkan keluar dari hospital, sementara anak pasangan suami isteri itu, Ammzar Hussniah Ammir Hussein, 8, masih tidak sedarkan diri dan dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Ditanya mengenai keadaan Norhafizah Sazwa, Noriah berkata, kandungannya selamat, namun masih dalam pemantauan doktor. 

“Menantu mak cik masih terkejut dengan insiden yang berlaku, namun dia sempat melihat keadaan anaknya ketika dirawat, sempat peluk dan cium ketiga-tiga arwah. Dia reda dengan ujian Allah walaupun dugaan ini sangat berat,” katanya. 

Dalam pada itu, tambahnya, arwah anak dan dua cucunya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika kali terakhir mereka bertemu pada 31 Ogos lalu. 

“Mak cik tinggal di Chukai, namun semalam mak cik berada di rumah anak, di Kuala Terengganu. Kami tahu mengenai kejadian ini daripada Norhafizah Sazwa yang sedar apa yang berlaku ketika kejadian. Dia beritahu mereka kemalangan,” katanya. – UTUSAN

NORIAH Ismail menyiram pusara anak lelaki dan dua cucunya yang maut dalam kemalangan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jabur Kubur, Kemaman, malam tadi. – UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya