KUALA LUMPUR: “Walaupun saya ada kes mahkamah, saya ikuti prosesnya dan tidak minta pun kes digugur atau ditangguh. Kes sudah selesai kurang dari satu tahun. Apabila tiba kes pemimpin lain, dalam masa hampir lima tahun, tiba-tiba diberhentikan.”
Demikian luahan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas tindakan drastiknya menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan susulan isu dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu berkata, beliau ketika ini sedang menunggu apa sahaja keputusan yang akan ditentukan hakim berkenaan pertuduhan ke atasnya.
Bagaimanapun, beliau berpegang kepada prinsip berani kerana benar dalam menyuarakan sesuatu isu termasuk kes DNAA Ahmad Zahid yang dilihat menimbulkan banyak curiga dalam kalangan orang awam kerana kes itu mengambil masa terlalu lama.
“Berani kerana benar, kalau saya takut, saya akan bermain selamat. Buat seperti yang dilakukan pemimpin lain, merayu kes digugurkan. Tetapi, kalau saya tahu saya di pihak yang benar, mengapa harus saya berasa takut?,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Parlimen, semalam.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, beliau akan meletakkan fokus menjadi suara pembangkang yang ‘sangat padu’ di Dewan Rakyat selain memberi tumpuan kepada pencarian solusi, berkhidmat dengan lebih baik untuk rakyat di kawasannya.
Beliau mengakui perjalanannya sunyi sepi kerana sering kali bercanggah pendapat dengan kerajaan, bagaimanapun, hakikatnya, masih ramai ahli Parlimen kerajaan menyokongnya, namun, tidak dapat bersuara secara terang-terangan.
“Ada ramai ahli Parlimen dari kerajaan dan pembangkang. Mereka banyak berkongsi pendapat sama berkenaan pengguguran kes Ahmad Zahid. Cuma, mereka tidak boleh bersuara. Contoh paling dekat ialah bagaimana Ahli Parlimen Pasir Gudang yang berani bersuara walaupun dalam platform politik.
“Bukannya bermaksud bersuara sahaja, kena jatuhkan kerajaan. Sekurang-kurangnya bersuara demi kebenaran. Yang peliknya, orang yang dahulu jerit reformasi melawan rasuah, orang itu pula yang kuat melawan saya,” katanya.
Kata Syed Saddiq, keadaan itu tidak menyebabkannya hilang prinsip dan tergadai maruah sebagai seorang pemimpin.
“Sejak tertubuhnya kerajaan, penipuan demi penipuan dibuat. Apabila saya bersuara secara konsisten, bukannya saya menikam rakan sendiri. Saya bangkitkan perkara yang muncul sebelum pilihan raya umum lagi, dan ketika itu memang sunyi.
“Contohnya isu kapal tempur pesisir pantai (LCS), lihat bagaimana saya disisihkan kerajaan? Biarlah saya berseorangan, sekurang-kurangnya saya boleh lena tidur waktu malam. Yang kumpulan besar hilang prinsip, tidak dapat tidur lena,” katanya.
Kelmarin, Syed Saddiq secara rasmi menarik sokongan sebagai penyokong Kerajaan Perpaduan berkuat kuasa serta-merta menjadi pembangkang kuasa ketiga dalam Dewan Rakyat.
Beliau sudah memaklumkan pendirian diambilnya itu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul melalui surat rasmi memohon pertimbangan berbuat demikian di bawah Peraturan Mesyuarat 2(2) Peraturan-Peraturan Majlis Dewan Rakyat.
Alasannya kerana langkah Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang. – UTUSAN










