PETALING JAYA: Ubat-ubatan palsu antara pelbagai barangan yang dirampas Polis Diraja Malaysia dalam pelbagai operasi termasuk Op Kontraban, Op Tiris dan Op Bersepadu Khazanah bagi tempoh 1 Januari hingga 14 September lalu.
Menerusi operasi itu, barangan tidak bercukai kastam, haiwan dan hidupan liar bernilai dengan jumlah keseluruhan bernilai RM726 juta turut dirampas.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, seramai 3,764 individu turut ditahan menerusi operasi yang dijalankan.
Beliau berkata, serbuan terbaharu adalah pada 7 September lalu yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) atau Wildlife, JKDNKA Bukit Aman bersama Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras membawa kepada tiga serbuan di Kajang.
Hasil serbuan itu, sindiket kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras tidak bercukai kastam ditumpaskan serta pembongkaran kewujudan dua makmal haram memproses arak tiruan jenis liquor bagi pasaran di sekitar Lembah Klang.
“Seramai 10 individu terdiri daripada lima lelaki warga tempatan dan lima lelaki dewasa warga asing ditahan.
“Rampasan juga dilakukan terhadap sejumlah 73,800 karton rokok pelbagai jenis dan 24,573 kotak minuman keras jenis liquor yang kedua-duanya tidak bercukai kastam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, jumlah nilai rampasan dianggarkan RM36,083,010 termasuk nilai cukai.
Kata beliau, menerusi serbuan yang dijalankan, pihaknya turut merampas peralatan dan mesin memproses minuman keras dan tiga kenderaan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM395,575.
“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM36,478,585.
“Kesemua suspek ditahan reman di Ibu Peiabat Polis Daerah (IPD) Kajang di bawah Seksyen 116C Akta Kastam, Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.
Dalam pada itu, kata beliau, pihaknya sentiasa komited dalam usaha memerangi kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai kastam serta penyelewengan barangan kawalan.
“Kita juga berusaha dalam memastikan barangan bersubsidi tidak diseleweng supaya hasil negara sentiasa dilindungi dan terpelihara,” katanya.-UTUSAN










