Tommy Thomas akan dipanggil sebagai saksi

Tommy Thomas akan dipanggil sebagai saksi

TOMMY THOMAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes pecah amanah harta kerajaan berjumlah RM6.6 bilion memaklumkan mahkamah bahawa mereka berhasrat untuk memanggil bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas sebagai saksi.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sebutan kes pecah amanah harta kerajaan berjumlah RM6.6 bilion di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Turut didakwa dalam kes itu ialah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah.

Pada prosiding bertarikh 7 Januari 2019, pihak pendakwaan pada ketika itu memaklumkan pihaknya akan memanggil kira-kira 70 orang saksi untuk memberi keterangan.

Perbicaraan kes pecah amanah itu sepatutnya bermula pada 9 Julai 2019 namun ditangguhkan bagi memberi laluan kepada kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn. Bhd. dan penyelewengan dana RM2.28 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB); kedua-duanya dihadapi oleh Najib.

Pada 25 Oktober 2018, Najib dan Mohd. Irwan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Najib dan Mohd. Irwan masing-masing didakwa bersama atas kapasiti Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan melakukan pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM1.2 bilion dan RM655 juta.

Pertuduhan ketiga, Najib dan Mohd. Irwan yang diama­nahkan ke atas harta sejumlah RM220 juta iaitu peruntukan di bawah Belanja Mengurus di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 021700 KL International Airport Berhad (KLIAB) milik kerajaan.

Bagi pertuduhan keempat, mereka dalam jawatan yang sama di­amanahkan dengan penguasaan ke atas harta RM1.3 bilion peruntukan di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Akti­viti 020500 Subsidi Dan Bantuan Tunai milik kerajaan.

Sementara itu, bagi pertuduhan kelima dan keenam, mereka juga telah diamanahkan de­ngan penguasaan ke atas harta sejumlah RM1.26 bilion dan RM2 bilion milik kerajaan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya