Tiga mayat warga asing bertindan dalam stor

Tiga mayat warga asing bertindan dalam stor

ALLAUDEEN Abdul Majid menunjukkan gambar dua lelaki warganegara Sri Lanka yang dicari polis bagi membantu siasatan penemuan tiga mayat warga asing di dalam stor sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Perhentian  Kampung Kovil Hilir, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga mayat lelaki warga asing ditemukan dalam keadaan menyayat hati dengan salah seorangnya tidak berpakaian di dalam sebuah stor sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Perhentian  Kampung Kovil Hilir, dekat sini malam tadi.

Ketika ditemukan, mayat ketiga-tiga lelaki warganegara Sri Lanka berusia 20 hingga 30-an itu diikat selain kepala mereka disarung dengan plastik.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, satu panggilan diterima polis kira-kira pukul 11 malam memaklumkan berlaku pertengkaran sepasang suami isteri dengan dua suspek lelaki yang juga warganegara sama.

Kata beliau, setiba sahaja di lokasi kejadian, dua suspek lelaki melarikan diri dan hanya sepasang suami isteri berada di dalam rumah berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu mendapati terdapat tiga mayat lelaki ditindan di dalam sebuah bilik stor di rumah berkenaan.

“Salah seorang daripada tiga mayat ditemukan merupakan anak kepada pasangan suami isteri itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kata Allaudeen, pasangan suami isteri dan tiga mangsa dikatakan telah menyewa di rumah terbabit bersama anak dan dua lagi mangsa.

Kata beliau, siasatan awal mendapati dua suspek utama yang melarikan diri dikatakan datang melawat dan bermalam di situ sejak dua hari lalu.

“Suspek dipercayai telah merancang pembunuhan itu sebelum berlaku pergaduhan dengan pasangan terbabit lalu melarikan diri.

“Dua suspek berkenaan tidak mempunyai talian kekeluargaan dengan suami isteri terbabit dan datang dari Klang untuk tinggal di situ,” katanya.

Kata beliau, pasangan suami isteri berkenaan ditahan reman selama seminggu bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ujar beliau, polis turut merampas sebilah pisau disyaki digunakan dalam pembunuhan itu. 

“Pemeriksaan di badan mayat menemukan satu kesan kelar pada salah seorang mereka selain tiada kecederaan ketara pada mangsa yang lain.

“Mayat ketiga-tiga mangsa kita hantar Hospital Kuala Lumpur bagi proses bedah siasat,” ujarnya.

Kata Allaudeen, pihaknya sedang giat mengesan dua lagi suspek yang melarikan diri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya