Tidak sangka tiga hari ‘tinggal’ dengan tiga mayat

Tidak sangka tiga hari ‘tinggal’ dengan tiga mayat

KEADAAN rumah diduduki tiga beranak yang ditemukan mati dalam sebuah bilik di pangsapuri di Ampang, Selangor, kelmarin. - IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: Bekas teman lelaki kepada wanita yang ditemukan maut bersama dua anaknya yang dipercayai membunuh diri di Kampung Baru Ampang di sini, tidak menyangka tinggal bersama ketiga-tiga mayat tersebut sejak tiga hari lalu.

Wanita dikenali sebagai Ong, 42, dan dua anaknya yang masing-masing berusia 14 tahun dan 15 tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri dalam bilik di rumah itu kira-kira pukul 7.30 pagi.

Guru tadika, 34, yang hanya dikenali sebagai Don berkata, dia yang tinggal bersama tiga mangsa di rumah terbabit sejak 2018 dan kali terakhir terlihat mereka pada malam Isnin lalu.

Katanya, mereka berpisah pada 2021, namun masih tinggal bersama dan tidak berkomunikasi antara satu sama lain dalam tempoh terbabit.

“Pada malam Isnin, saya ternampak dia (Ong) panggil anaknya untuk tidur dan Selasa lalu, ada terdengar bunyi seakan pita pelekat sedang digunakan dalam bilik diduduki mereka.

“Saya sangkakan dia sedang buat kerja. Namun, semalam (kelmarin), saya hanya menyedari tiada pergerakan dalam rumah tersebut oleh ketiga-tiga mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, semalam.

Menurut Don, lebih menghairankan apabila terdapat nota ditinggalkan di luar rumah daripada rakan sekerja mangsa yang meminta dia hadir bekerja.

“Saya cuba meletakkan nota di bawah pintu bilik, namun gagal dan menyedari pintu tersebut ditutup dengan pita pelekat di sekelilingnya.

“Apabila buka pintu, saya terkejut apabila ternampak ketiga-tiga mereka terbaring dengan keadaan mayat yang menyedihkan. Saya tidak sangka mereka dah tiada sejak beberapa hari lalu,” ujarnya.

Terdahulu, tiga beranak itu ditemukan maut di dalam bilik di sebuah kediaman di pangsapuri di Ampang di sini.

Turut ditemukan, arang bersama penyala api diletakkan di bawah sofa bilik itu serta surat wasiat dan wang bercampur.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya percaya ini adalah kes bunuh diri dan tempoh kematian melebihi 24 jam.

Dalam pada itu, Don, berkata, terdapat dua cubaan membunuh diri sebelum ini dibuat mangsa dengan menggunakan pil panadol.

Katanya cubaan kali pertama dimaklumkan wanita terbabit pada tahun 2011 dipercayai selepas bercerai dengan bekas suaminya sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital.

“Cubaan kali kedua empat tahun lalu apabila mangsa (Ong) menunjukkan satu bekas dipenuhi ubat (panadol) kerana dipercayai telah menggunakan wang hasil jualan bagi membantu abangnya yang menghadapi masalah kewangan.

“Mendiang memang seorang yang suka sangat membantu orang walaupun dia sendiri susah membesarkan dua anaknya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN