Tidak patuh HDA punca projek perumahan bermasalah

Tidak patuh HDA punca projek perumahan bermasalah

AKMAL Nasrullah Mohd Nasir (tengah) ketika sidang akhbar Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) di KPKT, Putrajaya. - UTUSAN/MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tidak patuh kepada penetapan Akaun Pemajuan Perumahan (HDA) dikenal pasti antara punca wujudnya isu projek perumahan swasta bermasalah di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pihaknya mendapati, ada pemaju perumahan meletakkan banyak projek perumahan dalam satu akaun HDA.

Beliau berkata, pihaknya menetapkan bahawa pemaju perumahan swasta diwajibkan untuk membuka HDA di institusi perbankan bagi satu projek perumahan sahaja.

“Tujuan akaun ini adalah sebagai simpanan deposit bagi pemaju mendapatkan lesen pemajuan dan pinjaman kewangan untuk pembinaan selain memudahkan pemantauan kesiapan oleh KPKT.

“Masalah timbul apabila satu projek perumahan bermasalah dan ia akan berjangkit kepada projek lain yang berada dalam satu HDA yang sama,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya kini sedang melakukan libat urus dengan institusi perbankan bagi memastikan prosedur pengurusan HDA ini difahami dengan jelas dan dikendalikan dengan lebih telus.

Akmal berkata, sebelum ini, pihaknya mendapati tiada pemantauan, penyelarasan dan prosedur pengurusan HDA yang jelas antara kerajaan, institusi kewangan dan pemaju perumahan yang kemudiannya menyumbang kepada projek perumahan bermasalah.

Menurutnya, pihaknya telah pun mengemukakan 12 isu berkait pengurusan HDA menerusi libat urus bersama Bank Negara Malaysia (BNM), tiga persatuan bank dan 13 institusi kewangan dan perbankan baru-baru ini.

“Libat urus itu penting bagi memastikan pengurusan HDA ini teratur dan dikawal selia serta dipatuhi sepenuhnya oleh pemaju perumahan swasta dan pihak perbankan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya