KPKT mahu JBPM jadi pembekal anjing pengesan pada masa depan

KPKT mahu JBPM jadi pembekal anjing pengesan pada masa depan

NGA Kor Ming memeriksa barisan kawalan kehormat Sempena Karnival Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2026 di Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru disini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berhasrat menjadikan Malaysia sebagai pembekal anjing pengesan bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga kepada negara serantau.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, hasrat itu selari komitmen pihaknya memperkukuh unit itu yang berperanan penting dalam mempercepat operasi mencari dan menyelamat (SAR), pengesanan mangsa serta siasatan kebakaran dimainkan unit itu.

Katanya, usaha itu akan dimulakan di Pusat Operasi Unit Anjing Pengesan (K9) di Bertam, Pulau Pinang yang telah berjaya membiakkan baka anjing jenis labrador tempatan yang pertama, dipanggil ‘Brave’.

“Dulu unit K9 mendapat anjing daripada pusat pembiakan di Birmingham, United Kingdom (UK), dimana anjing itu dibesarkan dan dilatih di sana baharu dihantar ke tanah air kita dengan kos RM150,000 seekor.

“Sebab itu saya ada sasaran supaya pasukan bomba kita dapat membiak dan melatih anjing K9 sendiri sebagai baka tempatan. Wawasan saya satu hari nanti kita boleh eksport balik ke UK, selain negara ASEAN seperti Singapura, Thailand, Filipina Indonesia dan lain-lain,” katanya dalam ucapan pelancaran Karnival Hari Anggota Bomba Sedunia 2026 di Padang Angsana Johor Bahru Mall, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad dan Pengarah JBPM Johor, Siti Rohani Nadir.

Kor Ming berkata, pasukan K9 terbukti memainkan peranan besar dalam meningkatkan keberkesanan operasi penyelamatan termasuk ketika tragedi tanah runtuh di Batang Kali dan misi bantuan kemanusiaan gempa bumi di Turkiye.

“Menyedari kepentingan unit tersebut, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM2.4 juta bagi perolehan 16 ekor anjing pengesan baharu dari UK. Ketika ini JBPM mempunyai 34 ekor anjing pengesan dan jumlah itu belum mencukupi untuk menampung keperluan operasi di seluruh negara.

“JBPM masih memerlukan sekurang-kurangnya 56 ekor lagi anjing pengesan bagi mencapai kapasiti operasi optimum. Justeru, sebagai langkah strategik jangka panjang, Pusat Operasi K9 di Bertam, Pulau Pinang akan akan melaksanakan program pembiakan domestik,” katanya.

Kor Ming berkata, kerajaan turut meluluskan peruntukan berjumlah RM437.2 tahun ini bagi perolehan 6,000 pasang Fire Resistant Suit; pembekalan 14 Set Jentera Hazardous Materials (Hazmat & CBRNE) serta aksesori dan pembaikan kuarters dan balai-balai JBPM di seluruh negara.

“Ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan pegawai dan anggota bomba dapat memberikan perkhidmatan terbaik dengan dibantu perkakas dan peralatan terkini.

“Kita tidak boleh lupakan seramai 27 anggota bomba yang telah terkorban ketika menjalani operasi sejak 1984, segala jasa dan bakti mereka wajib dikenang. Sebab itu kita perkasakan JBPM sehingga menjadi pasukan bomba bertaraf antarabangsa,” katanya.

Mengenai Hari Anggota Bomba Sedunia 2026 yang diadakan selama dua hari bermula hari ini, pihaknya menyasarkan kehadiran seramai lebih 20,000 pengunjung tempatan dan luar negara hadir memeriahkan karnival berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN