PETALING JAYA: Pengarah dan penerbit, Areel Abu Bakar mengeluarkan duit poket sendiri bagi mendanai filem Walid setelah tidak layak mendapatkan Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).
Permohonan dana berkenaan ditolak kerana kegagalan Areel menyelesaikan beberapa prosedur berkaitan. Oleh itu, Areel melunaskan pembikinan filem Walid dengan peruntukan kecil di samping terpaksa memikul beberapa tugas produksi sebagai seperti pengarah, sinematografi dan penulis skrip untuk filem tersebut.
“Maksud saya filem ini ‘fakir’ kerana bajetnya kecil dan ia bergerak secara sendirian tanpa didanai mana-mana pihak
“Walid merupakan filem kedua yang saya danai dengan duit poket sendiri. Saya membuka peluang kepada mana-mana syarikat atau studio yang mahu berkolaborasi asalkan tidak mengubah skrip, struktur dan misi filem ini.
“Biarlah ‘fakir’ asalkan perjalanan dan proses menghasilkan filem ini lebih selesa,” katanya.
Areel ditemui Utusan Malaysia semasa majlis sidang media dan tayangan filem Walid di GSC Starling, semalam.
Pengarah itu turut mendedahkan terdapat beberapa pihak yang menawarkan jalinan kerjasama sebelum ini namun memberikan syarat yang tidak munasabah.
“Ada syarikat dan studio besar yang kononnya berminat menyuntik dana tapi mereka sebenarnya hanya mahu memanipulasi sehingga mengubah cara dan hala tuju filem ini.
“Saya faham mereka mahukan pulangan pelaburan, namun jika itu yang menjadi keutamaan, jadi misi filem ini tidak akan sampai kepada khalayak.
“Saya juga tidak terlibat dengan mana-mana agensi sepanjang membikin filem Walid bagi mengelak sebarang syarat dikenakan,” tambahnya lagi.
Walid yang diterbitkan Layar Pictures Sdn Bhd menceritakan seorang lelaki bernama Walid mengajar kanak-kanak pelarian yang tidak mempunyai dokumen kewarganegaraan. Sepanjang mengajar, dia berkenalan dengan seorang kanak-kanak yang mencintai ilmu bernama Aisha. Konflik mula terjadi apabila Aisha diculik oleh ejen permerdagangan orang untuk dijual di pasaran gelap.
Walid bakal menemui penonton 14 September ini. Turut sama menjayakan filem ini ialah Megat Sharizal, Namron, Fad Annuar, Fieyna Tajudin, Puteri Qaseh, Shamputra, Yusran dan Yusran Hasim.