ISKANDAR PUTERI: Teruja dan bangga itu antara reaksi peminat Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas dapat melihat koleksi piala dimenangi pasukan kesayangan mereka yang dipamerkan pada Festival Majestic Johor (MJF) 2023 di Puteri Harbour, di sini.

Iqaahh Zaidi, 20, sanggup berulang-alik sebanyak dua kali dari Pontian hanya semata-mata mahu melihat secara lebih dekat koleksi piala tersebut.
Dia amat teruja apatah lagi dapat merakam dan bergambar terutamanya dengan trofi Piala Malaysia yang dimenangi JDT.
“Saya dapat tahu festival ini melalui hebahan dalam radio dan aplikasi Tik Tok. Hari ini adalah kali kedua saya datang ke sini untuk melihat trofi dan juga meluangkan masa sempena cuti semester.
“Memang sangat teruja, siapa yang tidak teruja bila dapat lihat piala dimenangi pasukan JDT secara dekat. Biasanya bila duduk di stadium trofi tersebut tidak berapa nampak hanya hujung-hujung sahaja.
“Bahkan setiap kali perlawanan melibatkan JDT, sekiranya cuti saya tidak akan lepaskan peluang menonton dan memberikan sokongan di stadium,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Norhakim Mohd. Bakhtiar, 23, turut mengaku bangga selepas dapat melihat kesemua piala yang telah diraih JDT di depan mata sempena festival itu.
Dia yang berasal dari Batu Pahat dan menetap di Johor Bahru jarang melepaskan peluang menyaksikan perlawanan JDT di stadium.
“Semua piala yang ada ini memang saya tidak pernah tengok secara depan-depan, ini adalah pertama kali saya lihat walaupun tidak dapat memegangnya, tetapi apabila dapat tengok secara depan-depan pun sudah terasa bangga menjadi orang Johor.
“Ini pertama kali saya datang ke festival ini yang penuh dengan pelbagai pilihan dari segi makanannya, jualannya, artis, aktiviti dan pelbagai lagi serta paling istimewa piala JDT ini.
“Sudah tentu saya akan mengajak lebih ramai ahli keluarga, rakan-rakan untuk sama-sama hadir ke festival ini sebelum tamat,” katanya.
MJF 2023 berlangsung di Puteri Harbour hingga esok.-UTUSAN










