Tertuduh kes bunuh pemandu kereta sewa diarah jalani pemeriksaan psikiatri - Utusan Malaysia

Tertuduh kes bunuh pemandu kereta sewa diarah jalani pemeriksaan psikiatri

MUHAMMAD Hanif Mohd. Rosli (tengah) yang dituduh membunuh seorang pemandu kereta sewa dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pekerja gudang yang didakwa membunuh seorang pemandu kereta sewa pada bulan lalu diarahkan menjalani pemeriksaan psikiatri oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri mengarahkan tertuduh, Muhammad Hanif Mohd. Rosli, 29, melakukan pemeriksaan tersebut di Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru.

Pemeriksaan itu bagi memastikan kesihatan mental tertuduh sama ada layak atau sebaliknya bagi menghadapi pertuduhan membunuh tersebut.

Beliau juga memerintahkan sebutan semula kes berkenaan pada 19 Oktober depan.

Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Hanif didakwa membunuh mangsa, Mohd. Latif Idris, 51.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di dalam sebuah kereta sewa di hadapan Klinik Kesihatan Seberang Takir, Kuala Nerus antara pukul 10.09 malam hingga 10.56 malam, 10 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Akhbar pada 12 Ogos lalu melaporkan mayat Mohd. Latif ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan kesan tikaman pada bahagian leher di tempat duduk belakang kereta sewa miliknya.

Sebelum itu, kereta sewa berkenaan dipandu secara melawan arus oleh Muhammad Hanif sehingga melanggar beberapa kenderaan pengguna lain.

Kes pembunuhan itu terbongkar apabila kereta sewa terbabit dikejar orang ramai sebelum terbabas berhampiran Klinik Kesihatan Seberang Takir.

Difahamkan, sebelum kejadian, Muhammad Hanif yang merupakan pelanggan kereta sewa itu dikatakan telah bertengkar dengan mangsa, Mohd. Latif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya