PETALING JAYA: Bagi memberi penghormatan kepada wanita, sebuah festival yang menghimpunkan pemuzik indie dari Asia Tenggara, TAPAUfest, kembali dengan konsep yang berbeza daripada tahun sebelumnya.
Kali ini, festival yang bakal berlangsung pada 7 dan 8 Oktober 2023 di Resort Tasik Raban, Lenggong, Perak ini bakal menampilkan lebih ramai wanita berbakat untuk berkongsi kebolehan muzik mereka menerusi sebuah acara bertaraf antarabangsa.
“Jika dilihat TAPAUfest sebelum ini, ramai yang merasakan energi sangat lelaki atau jantan. Jadi, kami mahu ubah perspektif ini dengan meyakinkan lebih ramai golongan wanita untuk datang ke festival kami.
“Kali ini, kami ubah cara pandang dengan memasukkan sentuhan lebih kewanitaan bermula daripada poster yang kami muat naik. Poster tersebut turut dihasilkan oleh seorang pelukis wanita bernama Newruul.
“Tidak hanya itu, kami mengundang lebih ramai pemuzik wanita sekali gus meningkatkan kuota representasi wanita di atas panggung berbanding festival kami sebelum ini,” kata Pengarah Kreatif TAPAUasia Sdn. Bhd., Ahmad Faris ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Barisan penyanyi dan pemuzik wanita turut sama memeriahkan pentas muzik sepanjang festival berkenaan antaranya duo elektronik Wobbebong, penyanyi muda Indonesia, Nadin Amizah serta penyanyi asal Borneo, Zee Avi.
“Bukan itu sahaja, daripada band yang ditampilkan juga, kami turut mengundang band wanita seperti Lomba Sihir dan The Jansen.
“Selaku penganjur, kami ingin menegaskan TAPAUfest merupakan sebuah komuniti yang sangat menjaga keselamatan dan kebajikan pengunjung.
“Oleh itu, kami mengalu-alukan kedatangan pengunjung wanita untuk turut serta dan hadir ke festival kami dengan perasaan selamat,” jelasnya.
Tidak ketinggalan, TAPAUfest turut membawakan artis daripada pelbagai negara seperti Mascot, Rub Of Rub, Force Vomit, Jemson pada malam pertama. Kemudian kemeriahan diteruskan dengan persembahan malam kedua seperti Muck, Door Plant, dan Bayangan.
“Saya boleh katakan tiket semakin laju terjual berbanding tahun sebelum ini.
“Mungkin tahun lalu kami masih baru dan ramai yang belum cukup mengenali TAPAUfest,” katanya.
Tiket masih lagi dijual di www.TAPAUfest.asia bermula RM175 Tiket Solo Daily (1 tiket Hari 1 atau Hari 2), Tiket Solo Weekend (1 tiket Hari 1 dan Hari 2) – RM330 dan Tiket Geng Weekend (4 tiket untuk Hari 1 dan Hari 2) – RM1200.