Takut dihukum gantung, wanita rugi lebih RM100,000 ditipu phone scam - Utusan Malaysia

Takut dihukum gantung, wanita rugi lebih RM100,000 ditipu phone scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang wanita berusia 48 tahun menjadi mangsa licik sindiket ‘phone scam’ yang mendakwa dia akan dikenakan hukuman gantung dan sebatan kerana terlibat kes jenayah berat.

Takut dengan ugutan tersebut, mangsa yang juga seorang peniaga itu sanggup ‘membayar’ ratusan ribu kepada sindiket tersebut bagi membersihkan namanya.

Wang berkenaan merupakan simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan wang kemas yang digadai dengan nilai keseluruhan berjumlah RM118,880.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, penipuan bermula apabila wanita itu menerima panggilan telefon Khamis lalu daripada seorang lelaki mendakwa pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Katanya, suspek memberitahu wanita terbabit mempunyai cukai tertunggak sebanyak RM58,982 namun dakwaan itu telah dinafikan mangsa.

“Suspek kemudiannya meminta mangsa membuat laporan polis secara dalam talian dengan menyambungkan panggilan kepada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Koperal Iskandar.

“Mangsa dimaklumkan bahawa namanya telah disalahguna seorang lelaki bagi menjalankan kegiatan haram selain bersubahat dalam aktiviti penggubahan wang haram dan penyeludupan dadah,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa diminta untuk memindahkan wang sebanyak RM98,000 bagi tujuan siasatan polis dan memberi jaminan bahawa wang tersebut akan dikembalikan setelah siasatan selesai.

Katanya, suspek juga cuba menakutkan mangsa dengan membuat soal siasat selain menyatakan hukuman gantung dan sebatan yang bakal dikenakan di mahkamah.

“Mangsa juga diminta melaporkan diri kepada suspek sebanyak lima kali sehari melalui aplikasi WhatsApp.

“Suspek juga mengarahkan mangsa mengisytiharkan semua aset dengan menghantar gambar kad akaun, buku akaun, mengeluarkan wang dari akaun ASB dan menggadaikan barang kemas,” katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh empat hari itu, mangsa telah menurut semua arahan suspek dan melakukan beberapa transaksi kepada akaun milik individu berbeza.

“Mangsa membuat laporan polis semalam selepas dia menceritakan perkara itu kepada suaminya kerana berasa takut dan bimbang.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Orang ramai dinasihatkan untuk berwaspada bagi mengelakkan diri menjadi mangsa ‘phone scam’,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya