Syed Saddiq jangan berlakon suci, sendiri ada kes mahkamah - Utusan Malaysia

Syed Saddiq jangan berlakon suci, sendiri ada kes mahkamah

R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin PKR mengingatkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya tidak berlakon ‘lebih suci’ dan lebih baik berbanding orang lain ketika beliau sendiri sedang berhadapan pertuduhan di mahkamah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Penerangan I PKR, Datuk R. Ramanan berkata, kes Syed Saddiq masih belum selesai dan agak janggal jika beliau bercakap mengenai kes mahkamah pemimpin lain.

Oleh itu, katanya, beliau kecewa dengan sikap Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu sehingga sanggup menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan hanya disebabkan tidak puas hati dengan keputusan mahkamah yang melepas dan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan ke atasnya.

“Saya kecewa sebab tidak patut kita berlakon kita ini macam lebih suci dan lebih baik daripada orang.

“Anda (Syed Saddiq) sendiri ada kes mahkamah. Kes sendiri pun belum selesai jadi apa yang dia mahu merepek pasal ini semua? Buat macam ini (tarik sokongan) tidak baik.

“Pasal dakwan beliau kami ahli Parlimen kerajaan tidak berani suara, harus ingat kami tidak mahu bersikap biadab. Kami mahu ikut kod etika. Apapun, saya nasihat beliau jangan ikut sangat cakap Mahathir (Tun Dr. Mahathir Mohamad).

“Ada juga yang kata beliau tarik sokongan beri kesan kepada kerajaan dan hilangan sokongan dua pertiga majoriti. Sudah berapa lama kerajaan ini wujud? Kerajaan masih kekal, dan Perdana Menteri juga masih sama,” kata Ahli Parlimen Sungai Buloh itu ketika ditemui di Parlimen.

Beliau berkata demikian ditanya mengenai tindakan Syed Saddiq yang telah menarik sokongan terhadap kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu dan memilih menjadi pembangkang kuasa ketiga di Dewan Rakyat.

Ia sebagai bantahan berhubung keputusan mahkamah yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada pertuduhan rasuah selepas pihak pendakwaan memohon untuk kesemua pertuduhan itu digugurkan.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan permohonan AGC supaya prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Ahmad Zahid.

Hakim Collin berkata, pendakwaan melalui Peguam Negara menjalankan kuasanya mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan memohon DNAA.

Pihak pendakwaan memohon menghentikan prosiding yang sedang berada di peringkat bela diri dengan 15 saksi pembelaan termasuk Ahmad Zahid sudah memberi keterangan.

Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan pasukan pembelaan supaya Ahmad Zahid dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan-pertuduhan yang dihadapinya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya