Syed Othman dinobat penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul - Utusan Malaysia

Syed Othman dinobat penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul

SYED Othman Syed Husin Al-Habshi dinobat penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1445H/2023. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penasihat syariah dan ekonomi, Prof. Datuk Dr. Syed Othman Syed Husin Al-Habshi dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana sempena sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1445H/2023.

Syed Othman, 80, anak kelahiran Peringgit, Melaka merupakan Dekan pertama Kuliyyah Ekonomi, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan pernah menjawat Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif di UNITAR.

Turut diumumkan enam penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW iaitu Pengasas dan Presiden Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI), Datuk Kamarudin Abdullah dan Yang Dipertua Persatuan Falak Syari’i Malaysia, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.

Penerima lain termasuk Datu Misni Taha; orang kurang upaya (OKU) penglihatan, Zamzuri Ghani; pakar veterinar, Datuk Dr. Mhd Nordin Mohd Nor dan bekas Pengarah Kolej Mara Kuala Nerang, Shaariah Dahman.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan anugerah kepada semua penerima.

Kesemua penerima masing-masing menerima hadiah wang tunai, pingat, sijil penghargaan dan jongkong emas.

Bertemakan ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’, sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan hadir pada sambutan hari ini selain Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri serta dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan tahun ini melibatkan penyertaan seramai 6,000 orang dari 131 kontinjen kementerian, badan berkanun dan agensi swasta.

Kontinjen perarakan berarak dari Jambatan Seri Gemilang Putrajaya ke PICC dengan jarak perjalanan 1.1 kilometer yang diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Naim Mokhtar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya