Suspek rempuh kereta polis ditahan dalam tempoh 24 jam - Utusan Malaysia

Suspek rempuh kereta polis ditahan dalam tempoh 24 jam

MOHD. Shokri Abdullah menunjukkan kesan remuk pada kereta yang dipandu suspek selepas merempuh kereta peronda polis dalam kejadian di Taman Kastam 3, Padang Besar, Perlis, pada Ahad lalu. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Seorang lelaki warga Thailand yang bertindak agresif selepas merempuh kereta peronda polis sewaktu cubaan melarikan diri dalam kejadian di Taman Kastam 3 pada Ahad lalu ditahan di sebuah kampung di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, dalam kejadian pada pukul 9.30 malam itu, pihaknya telah mendapat maklumat berhubung sebuah kereta jenis Proton Perdana yang didapati berkeliaran sekitar kawasan taman berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, sewaktu anggota polis ingin menahan kereta terbabit, suspek berkenaan telah memecut lalu melanggar kereta peronda dan enggan memberhentikan kenderaannya.

“Polis turut mengejar suspek sehingga ke kawasan Kampung Kok Mak, di sini, dan dia telah bertindak meninggalkan kenderaan serta berjaya meloloskan diri pada ketika itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shokri berkata, menerusi risikan dilakukan, suspek berusia 32 tahun itu kemudiannya berjaya ditahan hanya dalam tempoh 24 jam di sebuah kampung sekitar Padang Besar, semalam.

Katanya, suspek tersebut dikehendaki bersabit kes di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan iaitu menceroboh premis dan Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan iaitu cubaan pecah kenderaan.

“Suspek didapati tiada rekod lampau namun ujian air kencing menunjukkan dia positif dadah jenis syabu.

“Sewaktu penahanan, kita turut menemukan satu kad pengenalan Malaysia milik seorang individu lain yang dilaporkan hilang pada 2021 dan satu kad pengenalan Thailand milik suspek,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Shokri berkata, polis juga masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pemilik kereta yang dipandu oleh suspek terlibat.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh.

“Suspek telah direman empat hari bermula hari ini sehingga Jumaat dan kemungkinan besar polis akan memohon tambahan reman selepas ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya