Siasatan Himpunan Selamatkan Malaysia tak selari perlembagaan

Siasatan Himpunan Selamatkan Malaysia bertentangan dengan perlembagaan – CheguBard

BADROL Hisham Shaharin atau CheguBard menunjukkan laporan polis dibuat di IPD Dang Wangi hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia, Badrol Hisham Shaharin atau CheguBard mendakwa siasatan terhadap penganjuran himpunan terbabit bertentangan dengan perlembagaan negara.

Dakwanya, hak untuk berhimpun secara aman adalah jaminan perlembagaan yang termaktub di bawah Perkara 10(1)(B) Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi ini (siasatan) menyalahi undang-undang. Ini juga berdasarkan keputusan mahkamah pada 2014 melibatkan kes Nik Azmi Nik Ahmad antara Pendakwa Raya yang menyatakan di bawah  Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) kegagalan penganjur beri notis 10 hari sebelum  umpama melarang himpunan terbabit.

“Jadi, berdasarkan itu, siasatan terhadap kami seakan melanggar perlembagaan negara, bukan berdasarkan undang-undang.

“Kita tidak salahkan polis kerana mereka ikut kehendak kerajaan memerintah namun ini (siasatan) dan intimidasi perlu dihentikan segera,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat Polis (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.

Terdahulu, CheguBard termasuk empat peserta Himpunan Selamatkan Malaysia hadir ke IPD dang Wangi untuk dirakam percakapan pada 11 pagi.

Sementara itu, satu laporan polis turut dibuat CheguBard terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Peguam Negara (AGC) berkenaan siasatan yang dibuka terhadap dirinya serta beberapa individu di bawah APA ekoran penganjuran Himpunan Selamatkan Malaysia.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid dilaporkan berkata, pihaknya sedang mengesan tiga individu yang sehingga kini gagal tampil untuk dirakam percakapan berhubung pembabitan mereka pada ‘Himpunan Selamatkan Malaysia’ di ibu negara, 16 September lalu.

Jelasnya, pihak polis telah mengenal pasti 28 individu dan setakat hari ini, hanya 16 daripada mereka sudah tampil memberi keterangan.

“Beberapa individu akan diambil keterangan dalam masa terdekat ini. Kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada timbalan pendakwa raya,” ujarnya.

Sabtu lalu, polis membuka kertas siasatan berhubung ‘Himpunan Selamatkan Malaysia’ di hadapan kompleks beli-belah Sogo di sini mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Perarakan itu diketuai Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN) Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan serta CheguBard. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN