Siapa pengganti Allahyarham Salahuddin, Adly atau Dr. Dzulkefly?

Siapa pengganti Allahyarham Salahuddin, Adly atau Dr. Dzulkefly?

ADLY ZAHARI dan DR. DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua ahli parlimen daripada Parti Amanah Negara (Amanah) disebut-sebut sebagai individu yang akan mengisi kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Mereka ialah Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari yang kini menyandang jawatan Timbalan Menteri Pertahanan dan seorang lagi Ahli Parlimen Kuala Selangor merangkap bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Sumber men­dedahkan kepada Utusan Malaysia, setakat ini, masih belum ada kecenderungan untuk jawatan menteri di KPDN diisi sesiapa meskipun Allahyarham Salahuddin meninggal dunia pada 23 Julai lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kata sumber, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menilai individu yang layak berada di kedudukan itu. Bagaimanapun, sumber berkata, dua pemimpin berkenaan dicadang mengisi kuota untuk parti Amanah.

“Dalam kementerian, setiap parti kerajaan ada kuota tertentu untuk diisi dan menjadi menteri. Sekarang, Kabinet kurang satu wakil daripada Amanah. Jadi, kekosongan itu kena ganti dengan menteri dari Amanah seorang lagi. Nama itu sudah ada dan yang dinamakan ialah Adly. Ada juga yang menamakan Dzulkefly.

“Kalau Perdana Menteri rasa seseorang itu tidak sesuai untuk KPDN, maksudnya, seseorang yang lain akan naik menjadi menteri atau Perdana Menteri letak orang lain dari parti lain. Jadi, di mana mahu letakkan Amanah sedangkan kuotanya ada? Maksudnya, kementerian lain perlu diwujudkan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini semalam.

Ditanya jika Adly menjadi Menteri KPDN dan menyebabkan jawatan Timbalan Menteri Pertahanan kosong, kata sumber, seseorang dari Amanah akan menggantikan kekosongan tersebut kerana kuota parti itu masih ada.

Jelas sumber itu, Anwar kemungkinan besar akan merombak semula seluruh Kabinet berdasarkan prestasi ahli Jemaah Menteri yang tidak cemerlang.

“Tapi, kalau Perdana Menteri ambil seorang dari Amanah letak dalam KPDN, terus sahajalah. Maknanya tiada rombakan Kabinet. Tetapi, cara yang saya lihat ialah Kabinet akan dirombak. Tidaklah kelihatan KPDN sahaja yang berubah posisinya.

“Ada yang tanya, mengapa Perdana Menteri ambil masa lama sangat? Adakah kemungkinan beliau mengambil kesem­patan ini untuk merombak Kabinet,” katanya.

Amanah ada lapan kerusi di Dewan Rak­yat iaitu Kuala Selangor (Dzulkefly); Hulu Langat (Mohd. Sany Hamzan); Shah Alam (Azli Yusof); Kota Raja (Datuk Seri Mohamad Sabu kini Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan); Sepang (Raj Munni Sabu @ Aiman Athirah Al Jundi kini Timbalan Menteri Pemba­ngunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat); Alor Gajah (Adly kini Timbalan Menteri Pertahanan); Sri Gading (Aminolhuda Hassan) dan Pulai (Suhaizan Kayat).

Pada 30 Julai lalu, Anwar dilaporkan akan mengumumkan pelantikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang baharu bagi menggantikan Allahyarham Salahuddin, selepas selesai Pilihan Raya Negeri (PRN), baru-baru ini.

Ketika ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali diarahkan untuk memangku tugas bagi jawatan berkenaan buat sementara waktu.

Anwar dilaporkan mahu mengambil sedikit masa untuk memilih pengganti Allahyarham Salahuddin, namun tidak akan mengambil tempoh terlalu lama.

Allahyarham Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, pada pukul 9.23 malam ketika dirawat di unit rawatan rapi hospital berkenaan.

Beliau yang memulakan inisiatif Rahmah, dikejarkan ke Jabatan Kecemasan HSB pada 21 Julai lalu untuk rawatan kecemasan selepas mengalami mual dan muntah-muntah, sebelum pemeriksaan doktor pakar mengesahkan Salahuddin mengalami pendarahan otak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini