Sentuhan pengarah Jepun untuk sebuah cerita Melayu - Utusan Malaysia

Sentuhan pengarah Jepun untuk sebuah cerita Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS kejayaan filem Nota pada tahun 2015, pengarah dan penulis skrip kelahiran Jepun, Yasu Tanaka bakal menampilkan sebuah lagi filem Melayu berjudul MagiK. Tanaka buat kesekian kalinya bekerjasama dengan isterinya, Bea Tanaka selaku penerbit filem ini.

Kali ini, beliau bukan sahaja mempertaruhkan kekuatan sebuah jalan cerita, malah kredibiliti pelakon hebat seperti Beto Kusyairi, Nadia Aqilah, Namron, Ruminah Sidek, Roy Azman, Kamarul Eqifshah dan pelakon kanak-kanak, Qisya Hairulzain.

Kepandaian Tanaka menggarap sebuah filem berkonsepkan kekeluargaan dan fantasi bakal sekali lagi dinilai penonton menerusi naskhah ini. 

Tetapi, cabaran terbesar beliau adalah apabila menjadi orang asing yang mengangkat latar masyarakat tempatan dalam sebuah penceritaan yang berkonsepkan neo realiti.

MagiK bukan filem yang sekadar menceritakan tentang gadis pekak yang boleh berkomunikasi dengan kelip-kelip.  Malah, cerita ini juga bakal mengajak penonton menyelami kelebihan dan keistimewaan golongan yang mengalami masalah pendengaran.

“Penghasilan filem ini adalah berdasarkan gabungan dua idea iaitu pengalaman 15 tahun Bea sebagai guru pendidikan khas untuk golongan bermasalah pendengaran dan kecintaannya terhadap alam semula jadi.

“Begitulah cara dua idea ini digunakan untuk mencipta cerita tentang seorang gadis pekak yang boleh berkomunikasi dengan kelip-kelip,” katanya.

Filem MagiK bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 30 November depan.

TAYANGAN KHAS TUJUH LOKASI

Sebelum filem ini ditayangkan secara rasminya pada 30 November depan, ia bakal dipertontonkan secara khas selama dua bulan, bermula September di tujuh lokasi di seluruh negara.

Antaranya adalah di Warung Adri, Kuantan pada 16 September ini, Pantai Telaga Papan, Setiu (23 September), Space08000, Sungai Petani (29 September), YMCA Kuala Lumpur (1 Oktober), YMCA Georgetown, Pulau Pinang (7 Oktober);  PORT, Ipoh (14 dan 15 Oktober) dan Embrace Hall, Johor Bahru (20 Oktober).

Menurut Tanaka, kelainan tayangan khas itu nanti adalah apabila filem tersebut dipertontonkan dalam versi closed caption untuk golongan yang mempunyai masalah pendengaran. 

“Filem “magiK” ini memaparkan kisah orang kampung di Kampung Kuantan, Kuala selangor dan kami mahu mendekati golongan sasaran termasuk masyarakat luar bandar menerusi konsep tayangan khas ini. 

“Kami berterima kasih kepada pihak People Of Remarkable Talent (PORT) Ipoh yang menaja tayangan dua hari di Ipoh. 

“Untuk tayangan-tayangan ini kami telah bekerjasama dengan Persatuan Orang Pekak Perak untuk melibatkan komuniti pekak. Kami juga telah menjemput sekolah pendidikan khas sekitar Ipoh dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara Perak,” katanya yang akan turun padang bersama isteri pada tayangan khas itu nanti.

Layari laman web www.42ndpictures.com dan ikuti akaun TikTok dan Instagram #magikthemovie, Facebook (42nd Pictures) serta saluran YouTube 42nd Pictures untuk maklumat lanjut berkenaan tayangan khas tersebut.

Sinopsis :

Filem “magiK” mengisahkan Kit, seorang gadis pekak berusia 7 tahun yang tinggal di sebuah perkampungan yang terkenal dengan kelip-kelip. 

Ibu bapanya bergelut dengan masalah kewangan kerana bapanya hanya bekerja sebagai pendayung yang membawa pelancong melihat kelip-kelip. 

Ibu mahu Kit belajar bahasa isyarat dan pergi ke sekolah, namun, Kit tidak berani untuk berkomunikasi dengan orang ramai kerana dia lebih cenderung untuk hidup dalam dunianya yang dikelilingi alam semula jadi. 

Namun, semuanya mula berubah apabila Kit bertemu dengan seekor kelip-kelip yang seolah-olah berkomunikasi dengannya, berkelip dan terbang dengan cara tertentu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya