SEPANG: Selepas lapan tahun pernah mencipta rekod pembakaran sate terpanjang di Malaysia, Selangor sekali lagi melakar sejarah tersendiri hidangan warisan popular itu.
Kali ini pula, negeri termaju berkenaan membuat rekod baharu bagi pengedaran secara percuma paling banyak iaitu sejumlah 100,000 cucuk sate dalam satu program sahaja.

Ia dicapai pada Fiesta Sate Selangor 2023 yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna negeri tersebut, Datuk Rizam Ismail.
“Saya dimaklumkan oleh pihak penganjur bahawa kita berjaya merekodkan lebih 10,000 pengunjung yang hadir untuk memeriahkan acara julung kali ini,” katanya ketika berucap.
Sijil pengiktirafan rekod berkenaan disampaikan Eksekutif Malaysia Book of Records, Mohd. Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi di tapak program di Pantai Bagan Lalang, di sini hari ini.
Ia dianjurkan bersama oleh Jawatankuasa Tetap Kemajuan Desa dan Perpaduan Selangor, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor serta Majlis Kebudayaan Selangor.
Pada 30 Mei 2015, Selangor mencipta sejarah apabila 50,000 cucuk sate telah dibakar yang melibatkan jarak sepanjang 1.2 kilometer ketika Karnival 1,001 Rasa Sate Kajang.
Lebih 150,000 pengunjung direkodkan datang dan membabitkan kira-kira 200 petugas yang bermula pukul 6 petang sebelum berakhir dua jam kemudiannya di Stadium Kajang.
Mengulas lanjut, Rizam berkata, Fiesta Sate Selangor merupakan salah satu program makanan warisan negeri berkenaan yang diadakan secara tahunan oleh kerajaan negeri itu.
“Jika tahun lalu, kita berjaya mewartakan Nasi Ambeng sebagai warisan Selangor, tahun ini pula Sate Kajang dipilih dan bakal diwartakan sebagai identiti negeri ini kelak,” katanya.
Tambah beliau, program seumpama itu bukan sekadar melangkaui isu makanan, malah mampu menjadi wadah terbaik perpaduan kaum melalui penglibatan seluruh masyarakat.
Langkah tersebut juga ujarnya, selaras dengan gagasan oleh kerajaan negeri berkenaan bagi menyemarakkan muhibah rakyat dan berkongsi aspirasi menerusi Rumpun Selangor.
Inisiatif baharu itu ujar Rizam, sejajar peringkat akhir bagi penggubalan Dasar Perpaduan Selangor yang meraikan persamaan dan menghormati perbezaan kaum di negeri tersebut. –UTUSAN










