Selamat berangkat pulang Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis - Utusan Malaysia

Selamat berangkat pulang Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid selamat berangkat pulang ke Perlis dan disambut di lapangan terbang Alor Setar, Kedah, semalam.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid selamat berangkat pulang ke negeri ini, semalam selepas lebih enam bulan di Kuala Lumpur bagi proses pemulihan baginda selepas selesai menjalani pembedahan buku lali.

Baginda berdua bersemayam di Kuala Lumpur sejak 27 Mac lalu dan dalam tempoh dari 28 Mac sehingga 27 Ogos, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dilantik sebagai Pemangku Raja Perlis oleh Tuanku Syed Sirajuddin.

Baginda berdua disambut oleh Tuanku Syed Faizuddin; Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di lapangan terbang Alor Setar, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli serta para pembesar negeri.

Tuanku Tengku Fauziah dalam titah menzahirkan rasa syukur kerana rawatan pembedahan yang dijalani oleh Tuanku Raja Perlis telah pun berjaya dilaksanakan dengan lancar dan sempurna.

“Walaupun kadang kala terdetik rasa resah dan gelisah di hati sepanjang proses rawatan, saya berasa amat tenang dan sukacita dengan adanya sokongan daripada ahli keluarga dan rakan taulan yang saya kasihi”, titah baginda.

Tuanku Raja Perempuan turut menzahirkan ucapan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Kementerian Kesihatan termasuk seluruh warganya dan juga semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menguruskan segala urusan Tuanku Raja Perlis sepanjang bersemayam di Kuala Lumpur.

Baginda berdua turut menzahirkan ucapan berbanyak terima kasih kepada seluruh rakyat yang dikasihi kerana tidak putus-putus mendoakan kesembuhan dan kesihatan Raja Perlis sepanjang menjalani rawatan.

“Sesungguhnya hanya Allah SWT sajalah yang dapat membalas setiap titipan doa yang diucapkan” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya