TANGGAL 28 Oktober menjadi antara detik paling bermakna buat Anuar Zain yang bakal mengubat rindu peminat dalam sebuah konsert mega yang akan diadakan di Stadium Malawati Shah Alam.
11 tahun lalu, Anuar menggegarkan stadium yang sama menerusi sebuah konsert yang disifatkan cukup berjaya. Kali ini, penyanyi kesayangan ramai ini kembali membawa misi dan matlamat yang berlainan seiring pengalaman dan kematangan usianya sebagai penghibur profesional.
Saya mendapatkan Anuar untuk satu temu bual eksklusif bagi mengorek lebih mendalam tentang makna, misi dan perancangan untuk sebuah konsert yang mungkin sekali bakal menjadi antara yang ‘termega’ tahun ini.
Tidak lekang dari bibir penyanyi berusia 53 tahun ini memuji dan mensyukuri nikmat diberikan Tuhan yang mentakdirkan rezeki berpanjangan buatnya dalam industri seni yang penuh mencabar ini.
Anuar menyifatkan dirinya beruntung kerana kehadiran insan-insan istimewa termasuk peminat setia yang sejak 40 tahun lalu tidak jemu memberi sokongan terhadap kerjaya seninya. Justeru, konsert AZ 40 ini menjadi hadiah untuk menghargai pencinta-pencintanya.
“Alhamdulillah, perjalanan seni saya akhirnya sampai ke usia 40. Sejujurnya, saya macam tak percaya sudah empat dekad saya berada dalam bidang ini. Saya masih di sini, bekerja. Tapi, saya tidak melakukannya sendirian. Ada sistem sokongan, termasuk pengurus dan pasukan serta media di belakang saya.
“Peminat pula saya sifatkan sebagai sistem sokongan terkuat. Syukur, dengan adanya media sosial seperti instagram, saya berpeluang menyantuni mereka. Peminatlah yang menggerakkan saya ke depan.
“Alhamdulillah, saya mengharapkan sokongan yang berterusan. Saya masih mahu menyanyi sehingga puluhan tahun mendatang. Memang banyak tekanan yang saya hadapi. Lebih-lebih lagi ketika membuat persembahan kerana saya menghiburkan penonton yang ramai. Kita tak tahu, saat itu, kita sihat atau tidak. Saya tak mahu gagal.
“Insya-Allah, saya dan seluruh tenaga kerja akan melangsungkan konsert ini dengan jayanya. Ini semua kerja Allah. Dialah yang menggerakkan hati peminat untuk mengikuti lagu-lagu saya. Dan saya bersyukur kerana adanya mereka di belakang saya yang akan bersama-sama menjayakan konsert ini,” katanya.

PUTUS ASA DAN KEBANGKITAN
EMPAT dekad adalah ‘garis masa’ yang cukup lama. Sepanjang perjalanan itu, Anuar lalui fasa turun dan naik yang memanusiakan. Banyak terlihat yang positif, yang cantik di mata umum. Hakikatnya, ranjau yang dilalui hanya penyanyi ini dan mereka yang rapat dengannya sahaja yang tahu.
“Saya manusia biasa. Ada up and down, jangan cakap semuanya indah belaka. Sebenarnya, yang tak indah itu pada saya peringatan dari Allah untuk saya muhasabah diri. Beberapa kali saya berputus asa terhadap nyanyian. Antaranya ketika usia saya belasan tahun. Masa itu saya ‘budak’ lagi, tak faham apa itu showbiz. Suara saya tidak didengari dan saya tak pernah membantah, hanya menurut dan akur apa yang disuruh. Sampai satu masa, saya merasakan diri tak mampu menanggung semua itu. Hendak ke sekolah pun terasa susah, berkawan tak ramai.
“Kemudian sekitar 2008 hingga 2010, sekali lagi rasa putus asa itu hadir. Saya rasa sudah menyanyi terlalu lama. Jadi timbullah keraguan, apa lagi yang boleh saya berikan? Ada atau tidak orang masih suka pada lagu dan nyanyian saya? Boleh atau tidak saya menyanyi lagi? Ia mengganggu fikiran. Keraguan itu merosakkan,” kongsinya.
Anuar sedar putus asa bukan satu-satunya pilihan yang ada. Dalam sekelip mata, penyanyi ini menemukan titik perubahan hasil pertemuan dengan seorang figura terkenal yang melihat kekuatan dalam diri Shahrul Anuar Zain.
“Tidak berapa lama dahulu, atas pelawaan Datuk Sheila majid, saya terbang ke Bali, Indonesia untuk menyertai sebuah master class kelolaan Seth Riggs yang berpengalaman luas dan banyak membimbing artis antarabangsa.
“Riggs menjelaskan banyak perkara yang saya sendiri tak pernah tahu. Pandangannya mengembalikan semangat dan keinginan saya untuk terus menyanyi. Ketika itu saya sedar, kita tak nampak kekuatan kita, tetapi orang lain melihatnya.
“Semangat yang saya terima cukup untuk memulangkan keyakinan saya. Setiap orang perlukan pemangkin dalam hidup, tetapi yang terbaik, adalah yang datang dari hati. Itu yang saya ambil dari seorang insan bernama Seth Riggs,” kongsinya.
Pada anak kelahiran Merlimau, Melaka ini, dia berterima kasih atas segala penghargaan dan sokongan yang diberikan kepadanya selama ini. Bagaimanapun, Anuar enggan dirinya larut dalam pujian dan sanjungan yang adakalanya boleh membinasakan.
“Apabila dipuji, orang meletakkan jangkaan pada kita. walhal, kita bukan sempurna, hanya manusia biasa yang menyimpan kelemahan. Sebab itu, lepas buat persembahan, untuk televisyen misalnya, saya tak akan tengok semula kerana saya jadi rungsing melihat kelemahan diri,” ujarnya.

SEBALIK KASIH DAN SAYANG PEMINAT
“SEMUANYA kerana Allah yang gerakkan hati mereka.”
Itu jawapan Anuar tatkala diminta pandangan tentang peminat yang selama ini bukan sahaja menyokong kerjaya seninya, malah mempertahankan dirinya dalam berdepan segala macam penghinaan dan kecaman.
Kata Anuar, dia berterima kasih dan bersyukur kerana peminat sanggup bersama dalam susah senang.
“Yang buatkan orang sayang dan suka kita adalah Allah. Dia jugalah yang gerakkan kita untuk memperkatakan sesuatu, menyanyi untuk peminat. itu semua dari Allah. Kita tak ada daya.
“Ramai peminat akan protect artis mereka. Tapi saya sentiasa minta peminat saya jangan balas kecaman orang terhadap saya. Jangan lawan balik orang yang mengutuk atau mengecam. Tak guna berbalah. Matikan sahaja perbualan. Tak sampai konklusi, tiada penyudah. Agree to disagree.
“Kadang ada yang kutuk nyanyian saya. Tapi saya layankan sahaja. Saya tak boleh puaskan hati semua orang. Kalau orang tak suka suara saya, hendak buat macam mana? Saya tak boleh paksa orang untuk suka nyanyian saya.
“Yang penting kita jangan cerita buruk pasal orang. Kalau ada yang menganiaya, kita biarkan, jangan dibalas dengan tindakan yang sama,” jelasnya.










