Mukadimah
AHLI Parlimen Bentong, Young Syefura Othman memerlukan seorang wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang benar-benar dapat membantu beliau membangunkan kawasan di samping mempunyai kebersamaan dan sealiran dengan kerajaan Perpaduan.
Justeru itu selaku wakil rakyat DAP, beliau memberi jaminan untuk menarik seberapa ramai pengundi Pakatan Harapan (PH) keluar mengundi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, 7 Oktober ini.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, JUANI MUNIR ABU BAKAR, Young Syefura atau dikenali sebagai Rara juga berkongsi penerimaan positif dalam kalangan para pengundi Cina terhadap kerjasama BN dan PH.
UTUSAN: Selaku Ahli Parlimen PH, bagaimana penerimaan calon BN?
Young Syefura: Alhamdulillah, setakat ini penerimaan amat baik kerana jentera PH dan DAP telah membantu dan memfokuskan kemenangan calon BN. Maklum balas sangat baik daripada segi penerimaan para pengundi. Mereka faham kerjasama BN-PH amat diperlukan dalam kerajaan Perpaduan demi masa depan negara.
Tetapi paling penting adalah memastikan semua 2,000 pengundi PH keluar termasuk pengundi luar untuk balik mengundi pada 7 Oktober ini.
Mengapa pengundi PH kena undi calon BN?
Semestinya kita hendak menang. Kita tiada pilihan untuk kalah supaya kerajaan Perpaduan yang kita bina terus kukuh di samping mendokong Kerajaan Pusat. Sebagai ahli Parlimen, saya hendak seorang wakil rakyat yang bersama dengan saya dan senang bekerja demi Pelangai ini.
Jadi kita akan bekerja kuat sehinggalah pada hari pengundian nanti untuk menyakinkan pengundi Pelangai agar memberikan sokongan kepada calon parti kerajaan Perpaduan dan memenangkan calon BN.
Sejauh mana isu bekalan beras dan harga barangan mempengaruhi pengundi?
Untuk di Pelangai, kita tidak terima aduan masalah bekalan dan kenaikan harga barangan serta sebagainya. Keperluan di sini amat cukup dan mereka amat berterima kasih di atas usaha kerajaan menggerakkan Jualan Rahmah dan pelbagai lagi usaha untuk membantu penduduk membeli barangan pada harga berpatutan. Saya percaya dua masalah ini tidak mempengaruhi pengundi kerana ia tidak berlaku di Pelangai.
Bagaimana pula dengan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi?
Setakat ini kami tidak dengar komen dalam kalangan pengundi PH dan tiada yang bertanyakan perkara itu. Fokus kami kepada isu pembangunan untuk membantu mereka, yang penting pastikan kita membawa kemenangan ini penting untuk kerajaan Perpaduan terus kukuh.
Apakah BN-PH goyah sehingga memaksa kepimpinan besar negara turun pandang berkempen?
Dalam setiap PRK kita memerlukan tumpuan dan bantuan seperti mana di Simpang Jeram dan Pulai, mereka datang membantu untuk memenangkan calon parti kerajaan Perpaduan. Bukan kita rasa takut dan terkesan tetapi inilah satu kesepakatan dan kebersamaan pelbagai pihak untuk membantu calon. – UTUSAN










