Saya dikecam setiap hari, tapi tiada siapa kena dakwa - PM

Saya dikecam setiap hari, tapi tiada siapa kena dakwa – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau menyalah guna kuasa dengan memberi tekanan kepada pembangkang apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dikenakan pertuduhan mahkamah mengikut Akta Hasutan 1948, dua bulan lalu.

Perdana Menteri berkata, Muhammad Sanusi didakwa kerana beliau mengeluarkan kenyataan yang menyentuh kedaulatan raja-raja.

“Ia sudah ada dalam undang-undang, sebab sebarang kritikan terhadap Perdana Menteri atau kerajaan saya tak dakwa, saya dikecam setiap hari, tapi tiada siapa kena dakwa.

“Tapi kalau kamu sentuh raja atau sultan, kita ada undang-undang, ia tidak serius seperti lese majeste tapi undang-undang itu ada, melainkan kita membuat beberapa pindaan kepada undang-undang maka kita boleh mempertimbangkan sama ada dikenakan pendakwaan atau tidak,” katanya dalam wawancara CNN bersama pengacara terkemuka, Christiane Amanpour, hari ini.

Namun, beliau menyifatkan, undang-undang melindungi raja masih lagi diperlukan oleh Malaysia.

“Saya fikir perlu untuk melindungi institusi raja, ia sudah diputuskan sejak merdeka, ini sistem yang kita warisi, jadi jika ada yang dianggap menghina raja dan didakwa oleh Peguam Negara, ada undang-undangnya, selagi kita belum pinda, selagi itu undang-undang ini terus dikuatkuasakan,” katanya.

Julai lalu, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas tuduhan mengeluarkan kenyataan mempunyai kecenderungan menghasut yang boleh menimbulkan rasa tidak setia terhadap mana-mana raja.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN