Saya baca komen walaupun ia menghiris - Utusan Malaysia

Saya baca komen walaupun ia menghiris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CARA lain untuk kita memahami media sosial adalah dengan membayangkan ia seperti gua. Setiap yang kita suarakan akan bergema. Namun bagi pelakon Ahirine Ahirudin, 27, beberapa kali juga gema yang bergaung tentang dirinya terpalit naratif murahan yang tidak senang didengar di telinga. Tak kisahlah dari mutu kerjaya sehinggalah tuduhan menjadi orang ketiga dalam perhubungan.

Anak kelahiran Melaka itu masih terlalu pucuk dalam dunia seni dan mengakui terkejut dengan api sensasi yang timbul mengenai dirinya. Lama-kelamaan dia sudah faham dan menganggap pengalaman itu sebagai ‘hari buruk’ yang dilaluinya sebagai selebriti. Sakit difitnah memang ada, tapi hari baru akan tiba dan dia akan baik-baik saja.

“Kadangkala apa yang diperkatakan tentang saya di media sosial terlalu berat untuk ditanggung. Saya orang yang sentiasa mahu belajar, mahu tahu di mana kesilapan yang boleh saya perbaiki untuk masa hadapan. Jadi, saya akan baca juga komen-komen untuk memperbaiki diri walaupun ia sangat menghiris.

“Di satu sidang media yang dihadiri ramai orang, pernah ada seorang wartawan mempertikaikan pemilihan saya sebagai watak utama dan mengatakan saya ‘kayu’. Ia mengguris hati, namun saya tahu itu silap saya. Saya terima dan pergi ke kelas lakonan.

“Namun, jika perkara yang timbul membabitkan fitnah seperti menjadi orang ketiga dalam perhubungan seseorang atau penyebab runtuhnya rumah tangga, saya rasa ia keterla­luan,” katanya kepada Pan­caindera.

LAIN ORANG BEZA CARANYA

Bagi Ahirine, menjadi individu multi dimensi dengan mempelbagaikan bakat dan kebolehan adalah caranya untuk menghilangkan rasa tidak yakin diri. Ketika ini, Ahirine mungkin satu-satunya pelakon wanita yang secara profesional mahir seni bela diri Muay Thai di samping perlumbaan kereta dan motor.

“Saya baru pulang menunggang motosikal dari Sarawak, Brunei dan Sabah selama tiga hari. Saya perlu selesaikan 400 kilometer dalam sehari.

“Sukan lasak ini memang didominasi lelaki, namun ini cara saya melawan insecurity dan kurangkan tekanan,” katanya.

Ada selebriti yang mungkin rasa tidak yakin dengan penampilan sehingga membuat pembedahan plastik di beberapa bahagian.

Menurut Ahirine, tidak ada yang salah dengan keputusan itu kerana itu pilihan dan hak masing-masing.

“Kalau seseorang itu ada duit dan mahu ‘buat wajah’ untuk menjadikan mereka lebih yakin dan gembira, ia sepatutnya tidak menjadi masalah.

“Inilah yang dikatakan insecurity, masing-masing ada cara nak tangani. Untuk yang kutuk, mungkin mereka boleh cuba letakkan diri dalam tempat mereka. Itu hak masing-masing untuk buat pembedahan wajah atau tidak. Siapa kita untuk menghalang.

“Namun setakat ini saya tidak rasa mahu buat pembedahan di mana-mana bahagian,” katanya.

Di samping sibuk menghadiri kelas lakonan, Ahirine sedang sibuk membuat persediaan untuk pertandingan Muay Thai yang bakal berlangsung minggu hadapan.

MELAWAN PERANG DALAM DIRI

Mungkin ramai yang tidak sedar, cara halus membunuh semangat seseorang adalah dengan sengaja melaungkan kelemahan yang ada pada diri individu itu sehingga dia meragui kebolehan dirinya.

Pelakon taruh bagi filem Tebus itu mendedahkan, tidak sedikit perasaan insecurity menghambatnya. Beberapa peristiwa lampau membuatnya sukar untuk memberikan kepercayaan kepada orang.

Bahkan sehingga kini, pemegang Ijazah Komunikasi Massa Universiti Teknologi Mara itu mengakui tidak ramai kenalan.

“Ditikam belakang, ditipu dan banyak kali dikecewakan membuatkan saya sukar mempercayai orang. Saya percaya kepada kemaafan dan peluang kedua asalkan mereka mahu sama-sama merendahkan ego, berada di titik yang sama untuk memperbaiki keadaan.

“Tapi jangan salah sangka, saya tidak bertoleransi dengan orang yang curang. Itu tiada kompromi. Begitu juga dengan orang yang berkali-kali lakukan kesalahan sama,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya