Ribut gagalkan cubaan seludup dadah RM1.9 juta - Utusan Malaysia

Ribut gagalkan cubaan seludup dadah RM1.9 juta

Seludup dadah
RAMLI Kasa menunjukkan bungkusan dadah yang dirampas polis selepas cubaan seorang lelaki warga Indonesia menyeludup bahan terlarang itu keluar dari sempadan gagal, ketika sidang akhbar di IPD Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AMIN AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Ribut kencang dan ombak bergelora menggagalkan cubaan seorang lelaki Indonesia menyeludup keluar dadah bernilai RM1.9 juta di sebuah jeti nelayan di Sungai Buloh, Jeram di sini, Jumaat lalu.

Kejadian pukul 2.30 pagi itu berlaku ketika suspek berusia 21 tahun dipercayai sedang menunggu sebuah bot untuk mengambil syabu dan pil estasi tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat nelayan yang melihat suspek dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, lelaki itu cuba bertindak agresif ketika ditahan dan membawa kepada penemuan tiga bungkusan plastik hitam di dalam semak kawasan tersebut.

“Pemeriksaan kemudian menemukan 56 bungkusan teh Cina berisi dadah disyaki jenis syabu seberat 58.9 kilogram (kg).

“Selain itu, sebuah beg ditemukan berisi 3,500 pil ekstasi di semak berkenaan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di sini, petang ini.

Jelas Ramli, siasatan mendapati suspek yang juga penganggur dikatakan memasuki negara ini menggunakan pas lawatan pelancong pada 13 September lalu.

“Lelaki itu dipercayai datang dari Port Dickson, Negeri Sembilan dan dibayar upah RM5,000 untuk melakukan kerja haram berkenaan. Kita percaya dadah itu mahu diseludup ke Indonesia atau negara lain, namun tidak berhasil kerana faktor cuaca dan maklumat penduduk setempat,” ujarnya.

Menurut beliau, siasatan lanjut masih  dijalankan pihaknya mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek direman selama enam hari sehingga Rabu ini dan saringan air kencingnya turut didapati positif syabu.

“Rampasan itu paling besar di Kuala Selangor tahun ini dan kita sedang menyiasat penglibatan seorang lelaki tempatan yang dipercayai membekalkan dadah tersebut,” katanya.

Tambah Ramli, kesemua dadah itu boleh digunakan oleh 120,000 penagih dan polis turut menyiasat kaitan dengan sindiket lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya