Rasuah kerja pengurusan mayat: Dua kakitangan perubatan direman

Rasuah kerja pengurusan mayat: Dua kakitangan perubatan direman

DUA kakitangan perubatan hospital dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban di Negeri Sembilan semalam bagi direman berkaitan kes meminta dan menerima rasuah.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua kakitangan perubatan hospital ditahan reman enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM11,000 sebagai balasan menawarkan kerja-kerja pengurusan mayat bukan Islam di sebuah hospital di negeri ini.

Perintah reman terhadap kedua-dua lelaki berusia 35 dan 39 tahun itu dikeluarkan Majistret Syed Farid Syed Ali di Mahkamah Majistret di sini semalam selepas menerima permohonan Pegawai Pendakwa, Zainab Yahya.

Kedua-duanya yang direman itu diwakili peguam, M. Parameswary dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Bagaimanapun, dua lagi suspek termasuk seorang wanita dilepaskan dengan jaminan RM10,000 tanpa deposit dengan seorang penjamin atas faktor kesihatan selepas keterangan mereka direkodkan.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan dilaporkan menahan empat kakitangan perubatan awam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak kira-kira RM100 hingga RM600 dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM11,000.

Ia sebagai balasan menawarkan kerja-kerja pengurusan mayat bukan Islam di sebuah hospital di negeri ini.

Sumber memberitahu, tiga suspek lelaki dan seorang suspek wanita berusia antara 30-an hingga 50-an dipercayai ditahan antara kira-kira pukul 4 petang hingga 7 malam kelmarin di pejabat SPRM Negeri Sembilan ketika diminta hadir memberi keterangan.

Kesemua suspek bertugas di hospital sama dipercayai menerima wang rasuah yang melibatkan kira-kira 42 transaksi bank daripada dua syarikat yang menawarkan perkhidmatan pengurusan mayat antara 2022 hingga 2023.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×