SETELAH berakhirnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Johor kelmarin, PRK DUN Pelangai di Bentong, dekat sini pula akan membuka gelanggangnya yang dijangka ‘panas’ bermula 23 September ini.
Pada ketika ini Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing sedang mengatur strategi cukup ampuh terutama membabitkan soal pemilihan calon.
Dalam PRK DUN Pelangai kali ini, BN tentunya akan turun dengan misi ‘wajib’ menang bagi meneruskan penguasaan parti tersebut di Pelangai sekali gus mengekalkan angka 17 yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Bagi PN pula, sebelum tarikh PRK DUN Pelangai diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah pun menyatakan bahawa gabungan itu memburu kerusi ke-18 bagi membolehkan mereka menang kerusi terbanyak biarpun tidak dapat membentuk kerajaan negeri.
Untuk menang PRK DUN Pelangai, kunci utama adalah soal calon. Terdapat dua kriteria utama sama ada calon boleh menang (winnable) atau pakai kabel (with cable).
Calon boleh menang bukan sekadar diterima parti masing-masing, tetapi lebih penting diterima rakyat. Calon terbabit perlu dipilih atas dasar merit dan keupayaan sebenar seseorang itu demi memastikan kejayaan parti.
Berbeza dengan calon with cable, ia dipilih mungkin atas dasar simpati dan mengenang budi serta akrab dengan kepimpinan parti. Soal rundingan, keterampilan, dan penerimaan rakyat diketepikan.
Jangan dilupa, apabila bercakap isu calon boleh menang dan disukai, selain soal keterampilan dan jantina, soal ketulenan seseorang calon itu tidak boleh ditinggal begitu sahaja. Tulen bermaksud calon itu mesti disukai dan diminati rakyat.
Jadi, BN dan PN perlu menampilkan calon yang sikapnya bukan sahaja penuh dengan tatasusila dan adab beragama malah dikenali ramai serta sentiasa cakna dengan masalah dihadapi rakyat di Pelangai.
Adakah BN dan PN sudah pun menemukan calon yang ada semua faktor itu yang diperlukan pengundi di DUN N36 Pelangai? – UTUSAN










