Pulau Pinang terima 3,000 kampit bekalan beras tempatan menerusi program BPT - Utusan Malaysia

Pulau Pinang terima 3,000 kampit bekalan beras tempatan menerusi program BPT

FAHMI ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pulau Pinang menjadi negeri pertama menerima bekalan beras tempatan menerusi program Intervensi Pengedaran Beras Putih Tempatan (BPT) bagi memastikan bekalan beras putih tempatan tidak terputus di pasaran.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan, Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol berkata, menerusi program BPT itu kerajaan negeri hari ini telah menerima sebanyak 3,000 kampit bekalan beras tempatan yang kesemuanya seberat 30,000 kilogram untuk diedarkan kepada penduduk negeri itu.

“Beras tempatan ini ia akan diedarkan di seluruh negeri menerusi outlet-outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan harga beras ini dijual kepada pengguna mengikut harga kawalan yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya ketika ditemui di pejabat beliau di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bekalan Beras Putih Tempatan (BPT) di seluruh negara dijangka pulih dalam tempoh sebulan susulan langkah intervensi segera yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Mohamad berkata, langkah intervensi menerusi Program Khas BPT itu akan meningkatkan lebih 20 peratus kuota pengeluaran beras di pasaran seluruh negara.

Menurut Fahmi, bekalan beras tempatan itu telah mula dijual kepada pengguna hari ini dan pengguna dibenarkan membeli maksimum dua kampit (20 kilogram) bagi setiap seorang.

Sementara itu, tambah beliau, bagi golongan peniaga pula dibenarkan membeli 10 kampit (100 kilogram) beras seorang.

”Program ini akan dijalankan secara bersiri bagi memastikan bekalan beras tempatan sentiasa ada di pasaran untuk kegunaan penduduk negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, menerusi tinjauannya di beberapa pasar raya dan kedai runcit di kawasan pulau dan Seberang Perai mendapati bekalan beras tempatan tiada di pasaran sejak minggu lalu.

”Saya sendiri turun meninjau bekalan beras tempatan, saya dapati memang bekalan beras tempatan tiada di pasaran dan hanya beras import sahaja.

”Saya harap dengan program Intervensi Pengedaran BPT sekurang-kurangnya dapat membantu penduduk di negeri ini mendapatkan bekalan beras tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri akan memohon kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberi autonomi bagi mengawal pengeluaran beras dan benih padi bagi memastikan bekalan di Pulau Pinang sentiasa mencukupi.

”Cara ini dapat mengelakkan kewujudan monopoli dan memastikan benih padi dapat diedarkan secara telus kepada pesawah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya