PETALING JAYA: Sebuah pusat akademik dalam membantu pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), PTTI diiktiraf Malaysia Book Of Records (MBOR) selepas berjaya mencatat jumlah pelajar mendapat semua A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.
Ketua Pegawai Operasi PTTI Group Sdn. Bhd., Muhd. Habibunajjar Sazali berkata, seramai 123 pelajar berjaya mendapat semua A pada SPM lalu, termasuk seorang pelajarnya yang mendapat 11 A+.
“Ini adalah satu pengiktirafan besar daripada pihak MBOR kepada PTTI yang sudah bertapak di negara ini sejak 2015.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada MBOR kerana mengiktiraf pencapaian kami. Kami akan terus bekerja keras untuk memastikan seramai mungkin pelajar kami mendapat keputusan cemerlang dalam SPM tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sijil itu diserahkan oleh dua wakil MBOR, majlis ringkas baru-baru ini.
Dalam pada itu, Muhd. Habibunajjar berkata, pihaknya meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 1,000 pelajar daripada keseluruhan lebih 10,000 pelajarnya untuk mendapat keputusan semua A dalam SPM tahun ini.
“Kami sedia maklum mengenai keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dalam proses untuk mengembalikan takwin SPM seperti sebelum pandemik Covid-19.
“Kami kini sedang menyusun semula program tuisyen PTTI bagi menyesuaikan dengan pelaksaan peperiksaan berkenaan,” katanya. – UTUSAN










