Program Usahawan USHAniaga sempena Karnival UDA 2023 sasar jualan RM10 juta

Program Usahawan USHAniaga sempena Karnival UDA 2023 sasar jualan RM10 juta

MOHD. Jafni Md. Shukor (dua dari kiri) melakukan gimik perasmian sambil diperhatikan Mohd. Salem Kailany (kiri) dan   Ling Tian Soon (kanan)  sempena Majlis Perasmian Karnival UDA di Angsana Johor Bahru Mall, Johor, hari ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Uda Holdings Bhd. (UDA) menyasarkan nilaian jualan sebanyak RM10 juta menerusi pelaksanaan program Usahawan USHAniaga yang dianjurkan sempena Karnival UDA 2023, tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Mohd. Salem Kailany berkata, jumlah itu melalui penglibatan seramai 500 usahawan di semua empat lokasi program Karnival UDA 2023 iaitu di Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Ipoh.

“Kita memberi ruang kepada usahawan dan rakan kolaborasi memasarkan produk serta perkhidmatan mereka secara lebih meluas. Ia juga platform bagi menjejaki, mendekati, membimbing serta mentransformasi usahawan berpotensi dan berdaya saing untuk lebih maju dalam pasaran domestlk serta antarabangsa.

“Tahun lalu, UDA membantu seramai 656 usahawan menerusi penganjuran program sama dengan jumlah nilai jualan yang berjaya dijana sebanyak RM11.72 juta,” ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival UDA 2023 di Angsana Johor Bahru Mall, di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon.

Sementara itu, Mohd. Salem berkata, pihaknya bakal melancarkan melancarkan produk hartanah baharu iaitu UDA Heights bulan depan.

“Produk berkenaan merupakan kediaman dengan reka bentuk moden, luas dan selesa untuk seisi keluarga meliputi rumah banglo dua tingkat dengan keluasan lot 80′ × 90′ serta rumah berkembar dua tingkat dengan lima bilik tidur.

“UDA juga akan melancarkan projek hartanah teres dua tingkat dan kedai pejabat dua dan tiga tingkat di Bandar UDA Utama pada tahun depan yang membantu merancakkan lagi industri pembangunan hartanah di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pelanggan yang membeli hartanah semasa program Kempen Hartanah UDA Ria berpeluang menikmati pelbagai hadiah lumayan bermula hampir RM200,000.

“Antara hadiah itu ialah pakej percutian, kad Touch n Go, baucar minyak, penginapan di hotel rangkaian UDA, AnCasa Hotels & Resorts serta dua hadiah utama iaitu kereta Perodua Ativa.

“Matlamat utama penganjuran karnival ini adalah merancakkan lagi aktiviti keusahawanan dan sosioekonomi setempat, sekali gus mempromosi pelbagai rangkaian produk hartanah UDA di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya