KUANTAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyeru kepada bakal calon dan parti politik yang terlibat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai agar sentiasa mematuhi undang-undang, yang ditetapkan bagi memastikan proses penamaan calon yang dilaksanakan dapat berjalan dengan baik dan lancar.
Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, SPR turut menyarankan kepada bakal calon yang ingin bertanding agar mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Pahang sebelum hari penamaan calon yang ditetapkan Sabtu ini.
Katanya, bakal calon juga disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti pembayaran.
“Bagi bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan untuk mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan kertas penamaan calon.
“Setiap bakal calon hanya dibenarkan diiringi oleh seorang pencadang calon dan seorang penyokong calon untuk memasuki pusat penamaan calon,” katanya di sini hari ini.
Ikmalrudin turut mengingatkan orang awam serta penyokong agar tidak menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon yang ditetapkan.
“Penggunaan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan apa jua jenis kenderaan adalah tidak dibenarkan pada hari penamaan calon dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5),” katanya.
Tambahnya lagi, calon yang membayar deposit bahan kempen pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta 5, adalah juga tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang atau simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan atau komponen secara bersama atau berasingan yang diwakilinya. -UTUSAN