PPR Kempas bergelap waktu malam

PPR Kempas bergelap waktu malam

REKA bentuk rumah mampu milik masih kekal seragam dan tidak berubah seiring waktu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tinggal di kawasan bandar namun rumah gelap, sunyi dan berbahaya pada waktu malam.

Itu situasi dihadapi kira-kira 10,000 penduduk di tujuh blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas, di sini kerana jumlah lampu situ tidak banyak, malah ada yang rosak.

Seorang penghuni, Norhafizah Mohamad Noor, 50, berkata, persekitaran yang gelap dan suram itu meningkatkan ancaman keselamatan dan kecurian seperti pecah kenderaan atau curi motosikal.

“Kalau datang waktu pagi memang nampak PPR ini okey sahaja, seperti tiada apa-apa masalah. Namun tunggulah selepas pukul 7 malam, keadaan jadi gelap dan suram seperti di kawasan pedalaman.

“Jangan kata kawasan rumah atau tempat letak kereta, pintu masuk utama ke perumahan ini juga gelap. Saya pernah terlibat kemalangan dengan sebuah motosikal semasa hendak pulang ke rumah kerana gelap.

“Masalah ini berlarutan sejak bertahun-tahun lamanya namun tiada tindakan diambil. Aduan banyak kali dibuat tetapi senyap sahaja sampai sekarang. Penduduk pun sudah tidak tahu hendak buat apa lagi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Justeru, Norhafizah berharap pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera untuk memperbaiki aspek berkenaan, khususnya yang melibatkan keselamatan dan kesejahteraan penduduk di PPR tersebut.

Seorang lagi penghuni, Noriah Md. Daud, 43, pula berharap isu saluran najis dan longkang tersumbat turut diberikan perhatian termasuk oleh wakil rakyat yang akan dipilih dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.

Katanya, kebersihan blok tiada masalah namun kebersihan longkang dan tangki kumbahan perlu diberikan perhatian kerana menjejaskan kesihatan penduduk setempat.

“Air yang bertakung menjadi tempat pembiakan nyamuk. Jika duduk di tingkat rendah atau berada di bawah rumah serta kawasan letak kenderaan, memang banyak nyamuk. Sehingga hendak tidur perlu pakai kelambu atau sembur ubat nyamuk.

“Memang kita bimbang dengan kesihatan, apatah lagi ramai orang tua dan kanak-kanak di sini,” katanya sambil berharap masalah parkir kenderaan juga harus diberi perhatian.

Sementara itu, Pengerusi Penyelaras PPR Kempas, Mohd. Suhimi Abdul Rahman berkata, pihaknya yang mewakili 10,000 penduduk PPR Kempas berharap Ahli Parlimen Pulai yang baharu nanti mendengar rintihan penduduk.

“Bantulah kami atasi pelbagai masalah yang telah membelenggu penduduk di sini sejak beberapa tahun lalu. Ada tujuh blok kediaman di sini dengan setiap blok menempatkan 230 unit rumah, bantulah kami,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya