PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menyiasat kes dera melibatkan ahli politik terhadap pembantu rumah warga Indonesia di Ampang Jaya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes tersebut.
“Bagaimanapun ia masih dalam siasatan,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, portal tempatan melaporkan bekas ketua pemuda salah satu cabang PKR didakwa mendera dengan kejam seorang pembantu rumahnya yang kini dilindungi konsulat Indonesia.
Mangsa mendakwa antara penderaan dialami ialah disuruh menanggalkan pakaian sebelum dicurah dengan air panas sebagai hukuman kerana membiarkan pintu pagar terbuka.
Selain penderaan lisan, lelaki itu didakwa tidak membayar gaji pembantu rumahnya selama empat tahun bekerja dengan lelaki terbabit.
Difahamkan laporan polis itu dibuat Ampang Jaya pada Ogos lalu. -UTUSAN











