Polis nafi kepung individu terlibat Himpunan Selamatkan Malaysia

Polis nafi kepung individu terlibat Himpunan Selamatkan Malaysia

ALLAUDEEN ABDUL MAJID (tengah) dalam sidang akhbar di IPD Dang Wangi petang tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR :   Tiada mana-mana individu yang terbabit dengan Himpunan Selamatkan Malaysia dikepung pihak polis seperti yang didakwa. 

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, dakwaan itu tidak benar kerana pihaknya sudah bertindak untuk memudah cara himpunan ini tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Maklumat memaklumkan ada pihak yang dikepung di hotel itu tidak benar kerana kita tidak kepung sesiapapun,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Allaudeen, Himpunan Selamatkan Malaysia yang berlangsung di hadapan Kompleks Sogo, di sini, hari ini, didapati tidak mematuhi undang-undang diperuntukkan mengikut Akta Perhimpunan 2012.

Jelas beliau, penganjur himpunan berkenaan tidak mematuhi garis panduan pemakluman kepada pihak polis.

“Sebelum ini, pelbagai pandangan diterima mengenai isu ini (pemakluman), namun pihak polis sebagai penguat kuasa undang-undang, kita perlu mengikut undang-undang sedia ada.

“Di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 sudah mengariskan perkara yang perlu dipatuhi pihak polis dan penganjur iaitu pada Seksyen 9 yang menetapkan perlu ada pemakluman dibuat.

“Pemakluman yang dibuat pula perlu mengikut format diperuntukkan pada Seksyen 10 akta sama dan bukan hanya sekadar satu surat dan dianggap memadai bagi memaklumkan kepada kami,” ujarnya.

Allaudeen berkata, pihak penganjur juga perlu menyertakan kebenaran daripada pemilik tanah atau premis.

“Di pihak kami (polis), ada tanggungjawab lebih besar iaitu mendapatkan maklum balas daripada pemilik premis serta mana-mana pihak berkaitan pemohonan itu dalam tempoh tiga hari untuk mendapatkan pandangan mereka sekiranya ada bantahan.

“Bagaimana polis nak mudah cara jika kami sendiri pun tidak ada maklumat lengkap dan maklum balas daripada penduduk selain maklumat penganjuran yang sentiasa diubah,” jelasnya

Beliau berkata, pihaknya akan meneliti beberapa perkara sebelum mengambil tindakan susulan berhubung himpunan berkenaan.

“Kita akan lihat semua aspek yang membawa kepada penganjuran himpunan hari ini. Kita akan panggil sesiapa sahaja yang boleh membantu siasatan nanti,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN