KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mula membuat dua bentuk halangan manusia bagi menyekat kemaraan peserta Himpunan Aman Selamatkan Malaysia menuju ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati lebih 1,000 peserta dilihat sudah berkumpul di hadapan pusat beli belah Sogo selain terdapat beberapa pemimpin politik berucap ketika ini.
Halangan berkenaan terdiri lebih 50 pegawai dan anggota PDRM yang bertugas menjaga keamanan di lokasi perhimpunan.
Turut kedengaran laungan ‘reformasi’, ‘dakwa Zahid’ dan ‘turun Anwar’ oleh peserta perhimpunan.
Terdahulu, kira-kira 200 peserta Himpunan Aman Selamatkan Malaysia mula berarak dari masjid di Kampung Baru menuju ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi membuat laporan atas dakwaan salah laku pemimpin kerajaan.
Menurut Aktivis Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang diadakan hari ini berlangsung secara aman tanpa sebarang perhimpunan diadakan.
Kata beliau, himpunan hari ini diadakan bagi membuat tiga tuntutan kepada kerajaan.
“Antara tuntutan tersebut adalah meminta kerajaan mendakwa semula Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas pertuduhan yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
“Kedua, kita mendesak agar Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibebaskan daripada kuasa eksekutif dan ketiga, kita minta dan desak undang-undang lebih adil kepada semua rakyat Malaysia… jangan ada dwistandard,” katanya ketika berucap di hadapan Masjid Kampung Baru di sini hari ini.
Kata beliau, tuntutan itu sebagai permulaan himpunan yang akan menggabungkan badan bukan kerajaan (NGO) serta parti-parti politik yang cintakan integriti di negara ini. -UTUSAN










