Polis ambil keterangan Abdul Hadi hari ini

Polis ambil keterangan Abdul Hadi hari ini

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keterangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini berhubung kenyataannya yang dipercayai mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas parti itu di Bakri, Muar minggu lalu.

Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu, kenyataan pemimpin itu akan diambil Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) di pejabat beliau yang terletak di ibu negara.

RAZARUDIN HUSAIN

Kata beliau, tindakan itu dilakukan selepas pihak Abdul Hadi bersetuju untuk tampil memberi keterangan.

“Pasukan penyiasat USJT akan ambil keterangan Abdul Hadi pukul 3 petang hari ini,” katanya secara ringkas.

Pada 28 Ogos lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan telah dibuka terhadap Abdul Hadi di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bachok yang juga Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman dalam satu kenyataan di media sosial X (dulu dikenali sebagai Twitter) mengesahkan Abdul Hadi dipanggil Bukit Aman berhubung laporan polis membabitkan ucapan beliau dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Simpang Jeram, Muar.

Abdul Hadi dalam ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) Johor di Bakri pada dua hari lalu dipercayai menyentuh bidang kuasa Lembaga Pengampunan dan mendakwa cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah tidak sesuai ajaran Islam.

Dalam pada itu, Abdul Hadi turut bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada Bukit Aman berhubung suatu laporan polis terhadap ucapan beliau dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram, Johor itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN