PETALING JAYA: Peratusan keluar mengundi yang rendah tidak mencapai 50 peratus khususnya di Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai tidak menggambarkan hasrat sebenar pengundi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun tewas di kedua-dua kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Perikatan Nasional (PN) menerima keputusan dan pilihan rakyat dengan hati yang terbuka.
Namun, katanya, bagi mengelakkan trend peratusan keluar mengundi rendah terus berlarutan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menjalankan kaji selidik bagi mengenal pasti puncanya.
“SPR perlu menjalankan kaji selidik mengapa peratusan keluar mengundi di Pulai khususnya amat rendah. Tidak sampai 50 peratus pun. Ia harus dilaksanakan segera supaya pada masa depan supaya peratusannya dapat meningkat kepada tahap munasabah.
“Peratusan yang tidak sampai 50 peratus itu tidak menggambarkan hasrat sebenar pengundi,” katanya yang turut menjangkakan faktor cuaca mempengaruhi peratusan keluar mengundi.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, di sebalik peratusan keluar mengundi rendah, undi masyarakat Melayu meningkat kepada PN di kedua-dua kawasan meningkat.
Dalam PRK Parlimen Pulai kelmarin, Pakatan Harapan (PH) berjaya mengekalkan penguasaan apabila calonnya, Suhaizan Kayat, disahkan menang di kerusi berkenaan dengan majoriti 18,641 undi namun peratusan keluar mengundi hanyalah 47.37 peratus.
Suhaizan yang juga bekas Speaker DUN Johor meraih 48,283 undi menewaskan Zulkifli Jaafar daripada PN dengan 29,642 undi, manakala Samsudin Mohamad Fauzi, calon Bebas meraih 528.
Manakala di Simpang Jeram, Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman yang mewakili PH diumumkan menang dengan majoriti 3,514 undi.
Berdasarkan undian rasmi, Nazri memperoleh 13,844 undi diikuti calon PN, Dr. Mohd. Mazri Yahya (10,330 undi) dan calon Bebas, S Jeghanaathan (311 undi).
Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kekalahan PN di kedua-dua kawasan tersebut mungkin disebabkan peratusan keluar mengundi yang amat rendah.
Namun, katanya, keputusan melihatkan peralihan undi besar daripada penyokong Barisan Nasional (BN) kepada PN.
“Kita dapat melihat peralihan yang amat besar sehingga lebih 70 peratus daripada penyokong BN beralih arah kepada PN.
“Ini adalah merupakan penafian terhadap dakwaan daripada pimpinan UMNO terutamanya bahawa penyokong mereka bersetuju dan menerima perpaduan dengan musuh-musuh mereka,” katanya. – UTUSAN










