PN gesa menteri minta maaf selepas pegawai didakwa kasari pengamal media

PN gesa menteri minta maaf selepas pegawai didakwa kasari pengamal media

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) menggesa menteri yang terlibat dengan insiden pegawai pengiringnya yang didakwa mengasari pengamal media untuk tampil membuat permohonan maaf atas insiden tersebut. 

Ketua Portfolio Komunikasi dan Digital PN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, rakyat berhak tahu apa tindakan menteri tersebut untuk memperbetulkan situasi itu. 

Katanya, insiden terhadap pengamal media wanita di Johor itu amat dikesali kerana boleh menyebabkan mereka merasa tergugat semasa menjalankan amanah tugasan mereka. 

“Tugas utama wartawan adalah melaporkan kebenaran agar orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan berita yang benar. Dalam melaksanakan tugas, mereka perlu berasa selamat dan selesa untuk mengumpul bahan berita serta maklumat di lapangan. Jika tidak, maka rakyat di Malaysia akan dinafikan hak untuk mendapatkan berita yang tepat. 

“Para pemimpin negara dan pegawai-pegawai mereka mempunyai tanggungjawab yang lebih besar daripada rakyat biasa untuk memastikan wartawan boleh menjalankan tugas mereka,” katanya dalam kenyataan. 

Pada masa sama, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu menasihatkan pengamal media yang terbabit agar jangan takut untuk membuat laporan polis supaya tindakan sewajarnya dapat diambil oleh pihak berkuasa. 

Sebelum ini media melaporkan, berlaku dua insiden melibatkan pengamal media dikasari beberapa pegawai pengiring menteri terbabit dalam dua acara kempen parti politik berasingan di Taman Anggerik dan Taman Dahlia, Johor Bahru, Johor.

Menurut Pengerusi Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak, beberapa pegawai pengiring telah menghalang beberapa pengamal media ketika sidang media menteri berkenaan diadakan, antaranya menyentuh tangan seorang wartawan wanita yang sedang merakam sidang media tersebut. 

Jelas beliau, seorang jurugambar juga ditolak oleh pegawai pengiring semasa sedang mengambil gambar sewaktu sidang media. 

“Pegawai pengiring juga bertindak mencubit belakang pinggang seorang lagi wartawan wanita beberapa kali bertujuan menghalangnya melaksanakan tugas semasa sidang media. 

“Suara wartawan wanita menjerit ‘jangan sentuh saya’ turut terakam dalam rakaman sidang media berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN