ALOR SETAR: Perikatan Nasional (PN) mengakui berdepan cabaran merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu, 7 Oktober ini.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ini kerana DUN tersebut merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
“Kita akui Pelangai adalah kubu kuat UMNO. Sebelum ini dipegang oleh Tok Nan (bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob). Tidak ada parti lain lagi menang di situ kecuali UMNO.
“Tetapi kita cubalah,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15 dan Majlis Angkat Sumpah Speaker dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini semalam.
Muhammad Sanusi sebelum ini melahirkan keyakinan menawan kerusi tersebut ketika menghadiri program Sanusi Mai Pelangai di Felda Kemasul Bentong Pahang, kelmarin.
Kata beliau, sebagai Pengarah Pilihan Raya, beliau perlu menyuntik keyakinan dalam kalangan jentera parti mengenai peluang untuk merampas Pelangai daripada BN.
“Saya sebagai pengarah pilihan raya, saya mesti ada keyakinan. Kalau saya kata, Eh! Saya pun tak tahu. Tak mahu orang pun meloroi (tidak bersemangat). Saya sebagai ketua saya kena ada keyakinan itu. Barulah anak buah saya bekerja untuk menang,” katanya.
Bersandarkan kepada kemenangan besar PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini, beliau bagaimanapun tetap menaruh keyakinan gelombang sama akan melanda PRK itu.
PRK DUN Pelangai menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN. Datuk Amizar Abu Adam, Kasim Samat (PN) dan Haslihelmy DM Zulhasli (Bebas).
BN mengekalkan kerusi DUN Pelangai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 pada November tahun lalu menerusi Datuk Seri Johari Harun yang maut dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu. – UTUSAN










