Pesawah Selangor gusar hasil padi 70 peratus kurang

Pesawah Selangor gusar hasil padi 70 peratus kurang

SAIPOL Bahri Sahlan menunjukkan pelan sawah di sawahnya di Kampung Sawah Sempadan, Tanjong Karang di Kuala Selangor, Selangor. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Golongan pesawah di daerah ini dan Kuala Selangor makin gusar kerana perolehan hasil padi mereka merosot kira-kira 70 peratus daripada 12 tan satu petak sawah pada 2018 kepada hanya 3.5 tan kini.

Ini juga berlawanan dengan status Selangor yang mendapat julukan negeri dengan penghasilan padi per hektar paling banyak di negara ini ia­itu enam hingga 10 tan metrik sehektar.

Keluasan petak sawah padi di negeri ini terutama di Sela­ngor Utara iaitu Kuala Sela­ngor dan Sabak Bernam yang menjadi kawasan tumpuan sektor pertanian tersebut adalah sekitar 1.2 hektar.

Lima tahun lalu, sebaha­gian pesawah memperoleh hasil padi sekitar 11 hingga 12 tan bagi satu petak sawah.

Bagaimanapun, hasil padi didakwa mulai merosot sejak 2018 apabila perolehan para pesawah menurun sehingga 3.5 tan bagi setiap petak.

Menurut seorang pengusahanya di Sungai Besar, Rahmat Basri, 56, rata-rata pesawah di kawasan itu mengalami penyusutan hasil padi meskipun tidak mengubah kaedah pe­ngurusan penanamannya.

“Kita masih guna cara dan melalui proses yang sama se­perti mendapatkan benih, baja dan racun daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) atau pengedar sah. Masa penanaman dan penuaian juga sesuai mengikut jenis benih.

“Yang berubah cuma benih yang dibekalkan, sekarang jenis digunakan adalah MR269, MR297 dan MR315 dengan tempoh matangnya antara 110 hingga 115 hari. ­Namun persoalannya adalah hasil yang berkurangan,” katanya ketika ditemui.

Rahmat berkata, pada pe­ringkat awal, antara perkara dikenal pasti adalah kualiti tanah yang dipercayai sema­kin merosot apabila berlaku peningkatan tahap keasidannya berikutan kawasan utara negeri ini sudah lebih 60 tahun kira-kira 18,000 hektar tanah dijadikan tapak sawah padi.

“Tanah di Sungai Besar pernah diambil sampel dan diuji oleh pihak berkuasa, saya diberitahu tahap keasidannya kini berada pada paras empat, itu terlalu masam. Tahap yang ideal adalah enam atau tujuh (neutral).

“Antara faktor yang dikenalpasti adalah penggunaan racun yang terlalu banyak menyebabkan tanah jadi sedemikian.

“Tetapi, itu tak boleh elak sebab penanaman padi memang memerlukan racun dan disemai enam hingga 10 kali semusim untuk tangani masalah rumput, serangga perosak dan penyakit,” jelasnya.

Seorang lagi pesawah, Mokhtar Talha, 59, membe­ritahu, kekurangan hasil padi menyebabkan ramai pesawah tertekan kerana kosnya terlalu mahal iaitu sekitar RM1,870 hingga RM2,600, belum kira pengusaha yang menyewa.

“Bagi setiap petak 1.2 hektar, untuk benih sahaja RM35 setiap 20 kilogram (kg) (satu beg), setiap petak perlukan lapan beg benih, kemudian racun sekitar RM1,200 hingga RM1,400 semusim.

“Jadi, bila hasil padi berkurangan memang tak seimbang. Dahulu di Sungai Besar ada ‘Kelab 10 Tan’ iaitu untuk pesawah yang berjaya peroleh hasil lebih 10 tan, sekarang siapa yang dapat lebih?

“Ada kawan beritahu, dia ke pejabat zakat untuk buat taksiran dan bayar zakat, tiba-tiba pegawai di kaunter cakap dia layak dapat bantuan zakat,” selorohnya.

Cadangan satu tahun satu musim

Sementara itu, seorang pesawah di Kampung Sawah Sempadan, Tanjong Karang, Saipol Bahri Sahlan, 62, ketika ditemui mencadangkan penanaman sawah dibuat pada tahap setahun semusim untuk kembali meningkatkan hasil padi.

Menurutnya, keadaan tanah sudah terlalu teruk dengan semaian racun yang banyak memerlukan peneutralan semula melalui penanaman tumbuhan lain dan dilakukan secara bergilir dengan padi.

“Kalau dua musim dapat 10 tan atau satu musim setahun dapat 12 tan, yang mana lebih berbaloi? Dalam keadaan macam itu lebih baik kita tukar cara penanaman padi, kita suburkan kembali tanah dengan tanaman lain.

“Sebagai contoh ubi atau jagung yang boleh menjadi sumber makanan dan rantaian bekalan kepada sektor penternakan. Bila tanah digembur dan disuburkan dengan tanaman lain, saya yakin, tanaman padi untuk musim seterusnya akan meningkat di samping hasil pertanian lain juga,” jelasnya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×