Pesawah hairan bekalan beras tempatan kurang di pasaran - Utusan Malaysia

Pesawah hairan bekalan beras tempatan kurang di pasaran

MASROL Sukil menunjukkan kawasan sawah yang diusahakan beliau dan penduduk di Sungai Manik, Pasir Salak, Perak. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Pesawah di Su­ngai Manik di sini menyifatkan kekurangan bekalan beras tempatan sebagai pelik kerana tanaman dan penghasilan padi tetap diteruskan seperti biasa oleh mereka.

Pesawah yang juga Ketua Unit Pertubuhan Peladang Kawasan Sungai Manik, Masrol Sukil, 65, berkata, kekurangan beras tempatan tidak pernah berlaku sebelum ini dan pesawah sendiri tidak menjangkakan akan berlaku isu itu.

Menurutnya, ini kerana pesawah tetap mengusahakan tanaman padi seperti biasa namun hairan bagaimana beras tempatan boleh ‘hilang’ tanpa diketahui puncanya.

“Saya tidak dengar mana-mana kawasan jelapang padi di negara ini yang terjejas atau diserang penyakit padi sehingga boleh membawa kepada terjejasnya bekalan beras tempatan.

“Seperti kami pesawah di Sungai Manik ini, tanaman padi tetap diteruskan seperti biasa, dan hasilnya juga tidak mengalami apa-apa masalah yang boleh mengurangkan penghasilan.

“Padi yang dituai dibawa ke kilang seperti biasa untuk diproses menjadi beras.

“Setiap kilang sudah tentu ada pegawai yang menyelianya dan tahu ke mana beras itu pergi, tetapi kenapa beras tempatan kurang di pasaran? Perkara ini amat menghairankan kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu katanya, pesawah menyokong usaha kerajaan mengurangkan beban rak­yat dalam mendapatkan beras dengan mengadakan Program Jualan Rahmah Beras di seluruh negara.

Katanya, dengan beras import 5 kilogram (kg) pada harga tidak melebihi RM15 dan kampit 10kg pada harga di bawah RM30 yang ditawarkan dalam program itu, rakyat berpeluang mendapatkan bekalan pada harga yang rendah.

“Kami pesawah menyokong Program Jualan Rahmah Beras di seluruh negara yang mendapat sambutan apabila orang ramai mengambil kesempatan membeli beras pada harga yang murah.

“Kami berharap program ini dipergiatkan lagi dan perluaskan ke merata tempat supaya semua rakyat dapat peluang membeli beras yang ditawarkan.

“Dalam masa sama kami berharap masalah kekurangan beras tempatan di pasaran dapat diatasi supaya rakyat dapat membeli beras pada harga yang rendah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN